Buletin

SUTTON MACH 1 – 767 EDITION, MUSTANG BERKUASA 767HP!

Clive Sutton dan Sutton Bespoke dari United Kingdom merupakan satu nama besar dalam industri kereta berprestasi dan mewah.

Syarikat ini mempunyai pengalaman lebih 30 tahun di dalam penalaan dan kereta custom buatan Amerika Syarikat dan Eropah selain pengimport utama dan penala Ford Mustang dan Mustang Shelby di benua itu.

Walaupun jauh di UK, anda sebenarnya boleh merasai air tangan Clive Sutton di pasaran tempatan melalui pikap berkuasa tinggi Sutton Monster CS 3500 yang diubah suai daripada Ford F-150 Raptor.

Ini pula projek terbaru Clive Sutton iaitu Mach 1 – 767 Edition yang asalnya adalah sebuah Mustang 5.0L V8 Mach 1.


Apa yang dibuat oleh Clive Sutton kali ini? Kuasa ditingkatkan kepada 767 hp! Satu peningkatan ketara dari Mustang Mach 1 dengan kuasa 460 hp. 

Angka 767 pada Mustang dari Clive Sutton ini mempunyai signifikan tersendiri iaitu 767 bsj bersamaan dengan nilai kelajuan bunyi atau Mach 1. 

Prestasi 307 hp lebih tinggi itu dicapai melalui penggunaan pengecas lampau (supercharger) 3.0 liter dengan penyejuk pengecas dual-pass dan paip ekzos berbentuk H.

Model asas Mach 1 – 767 Edition iaitu Mustang Mach 1 sebenarnya sudah sedia bagus dan diposisikan di antara Mustang GT dan Mustang Shelby GT500.

Di antara keistimewaan Mustang Mach 1 ialah diffuser yang dipertingkatkan, suspensi adaptif dengan kalibrasi khas dan pilihan transmisi enam kelajuan manual TREMEC atau sepuluh kelajuan automatik.

Clive Sutton mempertingkatkan komponen sub rangka dan suspensi dan melaras semula geometri kesemua roda mengikut tetapan Fast Road (pemanduan lebih sporti).

Roda pula dari Ford Performance berukuran 19 inci dengan tayar Michelin Pilot Sport 4S.

Pada bahagian dalam Mach 1 – 767 Edition dilengkapi lampu mood khas, butang penghidup custom, perehat lengan juga dibuat khas dan logo Sutton.

Satu lagi cerita menarik apabila unit Mach 1 – 767 Edition yang dipertontonkan pada acara Salon Privé concours di United Kingdom dijual kepada pengunjung majlis tersebut.

Selain itu, sebuah lagi model istimewa iaitu Mustang CS850GT turut terjual selepas digunakan di dalam demonstrasi pecutan di majlis yang sama.

Bagaimana pula dengan harga? 

Mach 1 – 767 Edition ditawarkan bermula dari £96,000 (RM550,225) manakala CS850GT berharga dari £115,000 (RM659,124).

BACA: MPV MERCEDES-BENZ JADIAN SUTTON BESPOKE, LUAR KONDO DALAM BANGLO

BACA: INI RANGE ROVER SPORT KHAS DARI CLIVE SUTTON – HARGA DARI RM 441K!

BACA: MUSTANG MACH-E POLICE CONCEPT, KERETA PERONDA ELEKTRIK!

Google ads
Back to top button