Buletin

INI RANGE ROVER SPORT KHAS DARI CLIVE SUTTON – HARGA DARI RM 441K!

Permainan golongan hartawan ialah mereka mahukan sesuatu yang berbeza dari apa yang ada. Jika membeli sesuatu yang sudah mahal sekali pun, mereka mahu pergi lebih jauh dan tidak hairanlah kebanyakan pengeluar kereta mewah menawarkan servis ubah suai dan naik taraf rasmi. 

Dari warna unik hinggalah kepada jahitan benang, semuanya boleh dibuat asalkan wang tidak menjadi penghalang.

Range Rover juga adalah permainan orang kaya. Ia ibarat kenderaan rasmi untuk kerabat, pemimpin politik mahu pun selebriti.

Menyedari wujudnya bisnes dalam bidang ini, Clive Sutton menawarkan pakej tempahan khas untuk gayaan dan prestasi model Range Rover. Pembeli boleh memesan pakej naik taraf komprehensif atau pun pakej khas untuk Range Rover milik mereka.

Kepada yang mahu mengenali Clive Sutton, syarikat itu sebenarnya sudah beroperasi sejak lebih dari 25 tahun lepas lagi. Operasinya ialah membekalkan pakej talaan daripada Shelby, Roush, Hennessy dan Saleen kepada pelanggan di United Kingdom.

Kini, Sutton turut mengeluarkan pakej talaan dan gayaan sendiri dan produk pertamanya ialah kit supercaj untuk Ford GT 2005 yang mampu menaikkan kuasa dari 550bhp kepada 730bhp.

Terbaru ialah Sutton Range Rover yang dihasilkan dari pakar dalaman mereka sendiri dan ia dibina untuk menarik perhatian pelanggan di UK dan Eropah.

Berikut ialah pakej naik taraf Sutton Range Rover Sport

  • Range Rover Sport + kit badan gentian kaca termasuk cat: bermula dari GBP 80,000 (termasuk VAT) / RM 440,965.74
  • Cat baharu untuk satu badan dan roda aloi berwarna hitam kilat atau mengikut warna badan: GBP 3,900 (termasuk VAT) / RM 21,475.03
  • Pakej kit badan gentian kaca merangkumi cat kilat atau kemasan satin pada gril depan, bonet dan pelbagai lagi: GBP 3,600 (termasuk VAT) / RM 19,828.59
  • Pakej tampilan lebih agresif, Sutto aero bodykit: Bermula dari GBP 10,800 (termasuk VAT) / RM 59,485.93
  • Pakej badan dan tayar lebar, arca roda, kit spacer 50mm roda depan dan 70mm roda belakang: GBP 2,400 (termasuk VAT) / RM 13,246.45
  • Roda 22 inci dan warna pilihan pembeli: Bermula dari GBP 5,280/set (termasuk VAT) / RM 29,142.20
  • Dalaman – Balutan dua tona untuk kerusi yang dikontrakan dengan peralatan lain seperti bahagian bawah papan pemuka, stereng dan sebagainya: Bermula dari GBP 4,560 (termasuk VAT) / RM 25,116.28

Selain daripada itu, Sutton turut menyediakan khidmat tempahan khas mengikut apa sahaja kehendak pelanggan bagi membezakan Range Rover Sport yang dimiliki berbanding ribuan yang lain. Tugasan itu bukan baharu kerana Sutton telah lama menaik taraf Range Rover iaitu melalui model generasi pertama lagi.

Pelanggan tempatan yang mahukan Range Rover seperti ini juga tiada masalah untuk memilikinya, import sahaja melalui pengimport peribadi. Iya, servis belian peribadi bukan sahaja untuk barangan fesyen perempuan malah sudah merangkumi kereta apa yang dimahukan.

Google ads
Back to top button