Buletin

SUV COUPE GEELY XINGYUE – MODEL PALING BERKUASA GEELY, SIAP ADA CIRI FACE ID

Geely dilapor akan melancarkan model terbaharunya, Geely Xingyue yang sebelum ini dikenali sebagai Geely FY11 ke pasaran China tidak lama lagi.

Berbanding dengan model-model terdahulu, Geely seakan-akan tidak mahu menyembunyikan rupa Xingyue apabila beberapa unit unit ujian dilihat berada di atas jalan sekitar Hangzhou yang menjadi lokasi ibu pejabat Geely.

Jentera itu dibangunkan di atas platform Volvo CMA yang turut digunakan untuk model Volvo XC40 dan semua kenderaan Lynk & Co.

Xingyue dijangka ditawarkan dalam dua varian. Varian pertama dilengkapi enjin Volvo T5 empat selinder berkuasa 238hp dan tork 350Nm. Sekali gus menjadikannya sebagai model paliang berkuasa Geely setakat ini.

Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke empat-empat rodanya.

Satu lagi varian dikuasakan oleh enjin 1.5 turbo yang mampu menjana kuasa 177hp. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear lapan kelajuan automatik.

Ada laporan yang menyatakan bahawa enjin 1.5 itu mungkin akan dipadankan dengan sistem mild hybrid atau plug-in hybrid.

Dari segi dimensi, Xingyue memiliki tapak roda sepanjang 2,700mm, 4,605 panjang, lebar 1,878mm, tinggi 1,643mm dan berat 1,810kg.

Xingyue menggunakan gril ‘cosmos’ yang menjadi wajah signatur kenderaan Geely.

Bahagian sisi diserlahkan dengan reka bentuk fastback. Di samping bingkai tingkap berwarna hitam, skirting sisi, angkup brek berwana hitam dan rim hitam berkilat.   

Bahagian belakang pula kelihatan menarik dengan kemasan krom, spoiler nipis berwarna hitam, gugusan lampu LED dan paip ekzos berkembar di kiri serta kanan.

Bahagian kabin tampil mewah dengan skrin sentuh yang besar, panel instrumen digital, head-up display (HUD) dan sistem bunyi berjenama Bose. Tempat duduk pula menggunakan gabungan warna merah hitam dan bahagian bawah stereng rata untuk tampil lebih sporty.  

Elemen sporty diteruskan dengan kemasan gentian karbon pada konsol tengah, perehat tangan dan corong pendingin hawa.

Apa yang lebih menarik ialah Xingyue hadir dengan sistem pengecaman wajah atau FACE-ID. Sebaik sahaja maklumat wajah pemandu dikumpul dan dikenal pasti, ia akan mengubah suai talaan tempat duduk, cermin sisi, tema skrin instrumen, infohibur, navigasi, lampu ambien, wangian serta pelbagai konfigurasi lain.

FACE-ID boleh menilai kondisi pemandu berdasarkan kepada kerlipan mata, menguap, mengangguk dan pergerakan kepala yang lain. Ia juga mampu mengecam tindakan berbahaya seperti minum air, merokok, menggunakan telefon dan sebagainya.

FACE-ID kemudian akan memberi amaran kepada pemandu supaya memberi perhatian ketika memandu.

Nama Xingyue hanya akan digunakan di China. Manakala pasaran luar bakal menggunakan nama alfanumerik.

Google ads
Back to top button