Buletin

VOLVO PASANG KAMERA DALAM KERETA UNTUK KESAN PEMANDU MABUK DAN LEKA

Volvo Cars baru-baru ini mendedahkan langkah terbaru dalam usaha mengurangkan kematian di dalam kenderaannya dengan menangani isu mabuk dan gangguan.  

Selain kelajuan yang ditangani menerusi menghadkan kelajuan, masalah mabuk dan gangguan merupakan isu utama melibatkan keselamatan jalan raya.

Statistik yang dikeluarkan oleh NHTSA menunjukkan hampir 30 peratus kematian pada tahun 2017 berpunca daripada mabuk.

Jadi, Volvo Cars percaya masalah mabuk dan gangguan perlu ditangani dengan memasang kamera dan alat pengesan di dalam kereta yang berfungsi memantau pemandu.

Sistem itu juga membolehkan kenderaan ‘mengambil alih’ sekiranya pemandu jelas mabuk atau terganggu dan tidak memberi maklum balas terhadap amaran serta beriko terlibat dalam kemalangan.

Langkah itu mungkin melibatkan menurunkan kelajuan kenderaan, memaklumkan perkhidmatan bantuan Volvo on Call, sebelum memberhentikan kereta dengan selamat.

“Matlamat kami adalah untuk mengelakkan kemalangan sepenuhnya dan bukan sekadar mengurangkan impak apabila kemalangan tidak boleh dielakkan.

“Dalam kes ini, kamera akan memantau tingkah laku pemandu yang mungkin boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian,” kata Naib Presiden Kanan, Pembangunan dan Penyelidikan Volvo Cars, Henrik Green.

Antara contoh tingkah laku tersebut ialah tiada maklum balas pada stereng dalam tempoh masa yang ditetapkan, pemandu menutup mata dan mengambil masa terlalu lama untuk memberi tindak balas.

Sistem pemanduan pemandu menjadi elemen penting dalam membolehkan kenderaan mengambil langkah bagi membantu mengelakkan kemalangan.

Pemasangan kamera di dalam kenderaan akan dimulakan ke atas model yang menggunakan platform SPA2 pada tahun 2020. Perincian mengenai jumlah dan kedudukan kamera akan diumumkan nanti.

Volvo Care Key

Dalam perkembangan berkaitan, Volvo Cars turut memperkenalkan Care Key yang membolehkan pemandu mengenakan had ke atas kelajuan maksimum pada semua model kereta mulai tahun 2021 sebelum meminjamkannya kepada orang lain.

Google ads
Back to top button