Artikel Pilihan

TAHUN 2025 PALING SIBUK UNTUK PERODUA. 2 MODEL LANCAR SERENTAK

Kalau selama ini Perodua sinonim dengan kereta rakyat mampu milik seperti Perodua Myvi jadi “ikon nasional”, Axia kereta paling mampu milik, dan Alza memenuhi cita rasa keluarga, manakala Perodua Bezza sinonim dengan aplikasi pandu seru, nampaknya tahun 2025 nampaknya jadi titik perubahan besar.

Tahun 2025 nampaknya akan menjadi satu garisan baru kerana Perodua bukan sekadar nak lancarkan model baharu, tapi terus melancarkan 2 model baru sekaligus iaitu SUV kompak baharu kod D66B, dan juga model EV pertama secara serentak.

Perodua D66B – SUV Baharu Dua Varian

Sumber industri mengesahkan bahawa Perodua akan melancarkan SUV baharu dengan kod projek D66B. Model ini dijangka akan mengisi ruang antara Ativa dan Aruz, sekaligus jadi pelengkap barisan SUV Perodua. Terdapat dua varian yang akan dilancarkan, dengan varian H dan X yang mungkin menggambarkan hierarki harga serta kelengkapan.

Secara logik, Perodua akan mengekekalkan resipi mereka selama ini iaitu harga kompetitif, fokus pada ruang dalaman, serta ciri keselamatan terkini. Melihat kepada Ativa, kemungkinan besar D66B juga akan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) atau secara tepatnya DNGA B.

Platform ini memang modular, boleh menampung pelbagai jenis enjin termasuklah hybrid dan telah digunakan pada pelbagai model termasuklah Toyota Vios, Perodua Alza, Toyota Veloz dan juga Toyota Yaris Cross.

Soalan paling besar adakah D66B hanya SUV “biasa” dengan enjin petrol, atau ada versi elektrifikasi? Buat masa ini, jawapannya nampak sangat konservatif kerana Perodua mungkin bermula dengan enjin petrol sahaja dengan enjin 1500cc dual-VVTI dan transmisi tunggal Dual Mode CVT

Toyota Versi AV – Dengan Hybrid

Seperti biasa, projek kerjasama antara Perodua dan Toyota bukan benda baru. Tengok sahaja model semasa seperti Perodua Ativa, Daihatsu Rocky, Toyota Raize, atau Perodua Alza, Daihatsu Xenia dan juga Toyota Veloz.

Bezanya kali ini, kami percaya Toyota menawarkan versi yang lebih premium, mungkin dikenali sebagai AV (Advance Variant) lengkap dengan sistem hibrid sama seperti yang dijual di Thailand.

Sekiranya betul, Toyota Malaysia mungkin gunakan setup serupa dengan Ativa Hybrid (yang sebenarnya projek ujian import CBU dari Jepun tapi dengan enjin 1.2 liter) atau Yaris Cross Hybrid yang lebih matang. Maksudnya, enjin 1.5 liter 2NR-VEX dipadukan dengan satu motor elektrik, menggunakan sistem e-Smart Hybrid

Sekiranya andaian ini benar dan Toyota berjaya bawa masuk Yaris Cross Hybrid, ia akan jadi game changer kerana ini bermakna Perodua dan Toyota akan mula membezakan produk dengan lebih ketara. Toyota lebih kepada teknologi tinggi dan imej premium, manakala Perodua kekal fokus pada harga berpatutan. Dan kami rasa ia adalah tindakan yang tepat.

Pelancaran EV Pertama Perodua

Antara highlight paling ditunggu ialah EV pertama daripada Perodua. Ini bukan sekadar model konsep, tapi pelancaran rasmi yang akan berlaku serentak dengan pelancaran model D66B. Kita belum tahu bentuknya secara tepat, namun gambarannya pernah ditayang di pameran KLIMS baru baru ini

Yang pasti, ini akan menjadi pencapaian terbesar industri automotif Malaysia. Sebab selama ini, EV di Malaysia banyak datang dari jenama luar seperti Tesla, BYD, GWM, Chery. Semua dalam segmen harga pertengahan hingga premium. Kalau Perodua berjaya lancarkan EV dengan harga bawah RM100,000, itu akan menggegarkan pasaran.

Cabaran terbesar ialah kos bateri dan teknologi. Perodua mungkin ambil pendekatan “EV mampu milik untuk rakyat” dengan bateri kecil (range sekitar 300–400 km) tetapi cukup untuk kegunaan harian bandar. Dalam konteks Malaysia, itu sebenarnya lebih praktikal daripada EV 500 km yang harganya mencecah ratusan ribu.

Kilang Baru – Kapasiti Tambahan, Tapi Terhad

Satu lagi perkembangan menarik adalah Perodua telah membuka satu lagi kilang baru dan telahpun beroperasi sekarang. Langkah ini bukan sekadar soal menambah kapasiti, tapi lebih kepada strategi logistik dan fleksibiliti.

Namun disebabkan isu keluasan dan kawasan kapasiti kilang ini terhad kepada sekitar 500 unit sahaja. Sekiranya mahu, Perodua boleh menggandakan pengeluaran kepada 1000 unit sebulan melalui overtime. Nampak kecil jika dibandingkan dengan kilang utama Perodua di Rawang yang mampu hasilkan ratusan ribu unit setahun. Jadi, apakah peranan kilang kecil ini?

Kemungkinan besar ia akan jadi pusat khas untuk projek eksperimen, contohnya EV atau model kembar Toyota yang lebih premium. Dengan kapasiti kecil, Perodua boleh uji pasaran tanpa risiko mengganggu produksi besar-besaran untuk model popular macam Myvi, Axia, dan Alza.

Apa Maknanya Untuk Industri?

Gabungan semua ini menunjukkan Perodua semakin agresif keluar daripada zon selesa. Dulu Perodua selesa dengan kereta segmen A dan B yang murah dan laku keras. Tapi kini Perodua :

  • SUV D66B → meluaskan segmen, tarik pembeli yang nak gaya lebih premium.
  • EV pertama → diposisikan sebagai EV mampu milik di Malaysia.
  • Kilang baru → ruang eksperimen untuk projek EV tanpa mengganggu model lain.

Sekiranya semua ini menjadi kenyataan, tahun 2025 akan dikenang sebagai tahun Perodua paling sibuk dan berubah daripada pengeluar kereta rakyat kepada pemain industri yang berani bereksperimen dengan teknologi masa depan.

Penutup

Bagi rakyat Malaysia, Perodua sudah lama jadi pilihan utama sebab harga masuk akal, kos selenggara rendah, dan harga jualan semula yang padu. Tapi tahun 2025, visi Perodua menjadi lebih besar. Ia bukan sekadar pasal kereta murah, tapi pasal hala tuju industri automotif tempatan dalam era elektrifikasi.

Adakah EV pertama Perodua akan jadi kereta elektrik rakyat yang sebenar? Adakah D66B cukup kuat untuk lawan SUV China yang makin agresif masuk pasaran? Dan adakah Toyota akhirnya akan jadikan Malaysia hab hibrid serantau?

Google ads
Back to top button