Artikel Pilihan

JUARA SUPERGT UJI LIMA VERSI HONDA NSX – TAK AJAK PUN

Sebagai menyambut ulang tahun ke 35 NSX, Honda telah mengeluarkan video khas menampilkan lima versi supercar flagship mereka. Bukan tayang saja-saja tapi siap dipandu secara eksklusif oleh juara SuperGT dua kali, Tomoki Nojiri. Nojiri sendiri memandu ARTA NSX dalam kelas GT500 dan berjaya menjadi juara musim 2021 dan 2022. Beliau sendiri turut memiliki Honda NSX macam kami jugak. Cuma kami versi roda panas.

Nojiri bermula dengan memandu NSX NA2 1997 dengan enjin 3.2 liter dengan transmisi manual enam kelajuan. Beliau memuji kereta tersebut yang memberikan pandangan yang luas dengan keupayaan membelok yang baik. Ia boleh membelok dengan pantas dan masih menyeronokkan untuk dipandu walaupun dihasilkan 35 tahun yang lalu dengan teknologi yang boleh dikatakan terhad.

Kemudian tiba giliran Type S 2001 yang lebih ringan berbanding NA2. Perbezaannya dapat dirasai walaupun ketika dipandu perlahan menurut Nojiri. Ia mempunyai had yang lebih tinggi dan suspensi yang dinaik taraf memberikan lebh cengkaman pada tayar.

Tibalah giliran Abang Besar NSX generasi pertama, NSX-R 2002. Ia dihasilkan agar menjadi yang terbaik dalam generasinya dengan pengurangan berat yang sangat ketara dan pakej aero. Nojiri merasa downforce yang ketara walaupun pada kelajuan rendah sekitar 60 kmj. Ia lebih ‘melekat’ di permukaan jalan dan mudah menukar kelajuan selain mempunyai imbangan yang lebih baik.

Wakil generasi kedua dimulakan oleh NC1 2016. Ia masih mempunyai ‘feel’ yang sama dengan generasi pertama walaupun menggunakan tiga motor hibrid AWD dengan torque vectoring. Penglihatan yang baik, stereng yang responsif dan pemanduan yang mudah merupakan sebahagian dari DNA Honda NSX. Walaupun dipandu dalam litar basah, Nojiri kagum dengan kelajuan kereta ini dan kemampuannya untuk pergi lebih laju. Tapi itu skil juara SuperGT, kita jangan nak berangan lebih sangat.

Akhir sekali tibalah giliran NSX Type S 2021, model paling umphh dalam generasi kedua. Ia mempunyai lebih kuasa dan lebih downforce. Pakej aero memberikan kelebihan sewaktu memecut dan mengambil selekoh. Malah menurut Nojiri, kawasan medan ujian Takasu Honda tidak mampu menampung kuasa yang ada pada model ini. Mungkin ia lebih sesuai di litar seperti Nurburgring yang lebih panjang dan mencabar.

Nojiri mengakhiri sesi pandu uji dengan rasa bangga kerana diberi peluang menguji semua model NSX. Inilah ciri unik Honda NSX yang tiada pada supercar lain. Mudah diselenggara dan mudah juga dipandu ke mana-mana. Kami punya masuk poket pun muat.

Kredit japanesenostalgiccar.com

Google ads
Back to top button