
POLIS LENYEK DODGE HELLCAT UNTUK BERI PENGAJARAN
Polis di Louisville, Kentucky telah menghancurkan sebuah Dodge Durango Hellcat 2021 sebagai sebahagian daripada “usaha berterusan membanteras lumba haram dan aksi jalanan berbahaya.” Namun, tindakan itu dijadikan acara publisiti selama 20 minit yang memuncak apabila Datuk Bandar Craig Greenberg sendiri yang menekan butang untuk menghancurkannya.
Kenderaan prestasi tinggi itu telah dirampas ketika acara Street Rod Nationals 2024, dan polis berkata ia adalah salah satu daripada 167 kenderaan yang disita sejak mereka mula memperketat operasi terhadap lumba haram dan aksi jalanan pada 2023.
Menjelaskan pendekatan mereka, jabatan polis itu berkata, “Ini bukan sekadar tentang sebuah kereta. Ia tentang melindungi nyawa, memulihkan ketenteraman, dan menunjukkan bahawa bandar kita bersatu menentang perbuatan pemanduan yang melulu.” Mereka menambah bahawa tindakan menghancurkan itu seharusnya menjadi amaran kepada mereka yang fikir mereka boleh menjadikan jalan kita sebagai litar perlumbaan.
Walaupun proses menghancurkan itu agak hambar, ia menimbulkan kemarahan ramai pihak yang berpendapat kereta itu sepatutnya dilelong sahaja. Namun, pihak polis menjelaskan bahawa kenderaan itu “didapati mengandungi pelbagai komponen curi, termasuk enjinnya.” Oleh sebab itu, mereka memutuskan ia tidak sesuai untuk dilelong atau ditukar menjadi kenderaan polis kerana isu liabiliti dan kos.
Walaupun begitu, jabatan polis jelas tidak kisah soal kos untuk aksi publisiti ini kerana proses menghancurkan tersebut dirakam oleh sekurang-kurangnya lima kamera, termasuk satu yang dipasang pada dron. Namun, mereka berjaya mencapai misi utama mereka iaitu menarik perhatian orang ramai.
Datuk Bandar Greenberg berkata, “Saya tidak akan bertolak ansur dengan kelakuan yang membahayakan rakyat dan keluarga kita.” Beliau menambah bahawa lumba haram telah menurun hampir 40%, dan sesiapa yang berfikir untuk melakukannya di Louisville patut berfikir dua kali kerana anda tidak dialu-alukan di sini dan kereta anda akan dirampas. Beliau menegaskan lagi, jika kenderaan itu tidak sah untuk jalan raya, mereka akan menghancurkannya.



