
TESLA FSD BENGAP – REL KERETAPI PUN TAK KENAL
Walaupun dipasarkan sebagai Full-Self Driving (Supervised), sistem Tesla sebenarnya hanyalah tahap Level 2 semi-autonomous, yang masih memerlukan pemandu berwaspada dan bersedia mengambil alih bila perlu dengan pemandu sentiasa berwaspada dengan kaki, tangan dan kesedaran penuh pada bila-bila masa.
Sebabnya mudah kerana teknologi ini ada banyak batasan dan jauh lagi daripada sempurna.
Itu terbukti sekali lagi selepas NBC News melaporkan bahawa sistem Full-Self Driving datang dengan masalah baru iaitu gagal mengesan lintasan kereta api. Malah, rangkaian berita itu sempat merakam video sebuah Tesla Model Y yang sedang menghampiri lintasan aktif dan terpaksa dihentikan secara manual.
Namun, difahamkan palang lintasan itu baru sahaja diaktifkan ketika kejadian, dan palang pun belum separuh jalan turun. Hal ini mungkin menjelaskan kenapa kereta tersebut tidak berhenti secara automatik.
Walaubagaimanapun, NBC News menemubual beberapa lagi pemandu Tesla yang melaporkan masalah sama di lintasan kereta api. Mereka juga menemui pelbagai aduan dalam forum serta video lain yang menunjukkan kenderaan Tesla menghadapi isu yang sama.
NBC turut menghubungi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA), dan agensi itu berkata, “Kami sedar tentang insiden ini dan sedang berhubung dengan pihak pengeluar.” Mereka menambah bahawa pihak agensi sentiasa menganalisis aduan pengguna bagi menentukan sama ada terdapat kecacatan keselamatan kenderaan.
Belum jelas kenapa sistem Full-Self Driving Tesla sukar mengenal pasti lintasan kereta api, tetapi ada pakar berpendapat syarikat itu tidak menggunakan cukup contoh untuk melatih perisian mereka agar boleh mengenal pelbagai jenis lintasan di seluruh negara.
Namun begitu, sistem FSD sekurang-kurangnya boleh mengesan lampu amaran yang berkelip di lintasan. Tetapi dalam satu video, sistem FSD nampaknya lebih mengutamakan lampu hijau trafik yang berada lebih jauh. Akibatnya, kereta cuba meneruskan perjalanan melalui lintasan ketika palang sedang turun.
Masalah ini nampaknya berlaku secara rawak dengan sesetengah masa berfungsi, tapi ada kalanya gagal dan menyebabkan kemalangan telah dilaporkan. NBC menyebut satu kes pada bulan Jun lalu, apabila sebuah Tesla dikatakan membelok ke landasan kereta api dan dirempuh kereta api beberapa minit kemudian.
Setakat ini, Tesla dan Elon Musk tidak memberi komen terhadap laporan itu. Namun, bilionair lantang itu ada menulis di rangkaian sosial miliknya bahawa “FSD Supervised kini tersedia di Australia dan New Zealand.” Walau begitu, pengguna mungkin perlu lebih berhati-hati ketika melalui lintasan kereta api.



