
TERKINI: MFORCE DEDAH PROTOTAIP ARIIC 400 GS DI CHINA, SAH MASUK MALAYSIA
MForce Bike Holdings bersama-sama ARIIC telah mendedahkan prototaip skuter adventure, ARIIC 400 GS ketika di China JinLang Motorcycle Culture Week yang berlangsung di Taizhou, China pada Rabu.

Persembahan produk tersebut merupakan satu perkembangan besar bagi pasaran skuter di Malaysia ekoran prototaip berkenaan dibangunkan hasil kerjasama antara MForce dan ARIIC. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MForce, En. Asri Ahmad, MForce terlibat secara terus dalam proses reka bentuk, penyelidikan dan pembangunan.
“Kami mahu memastikan setiap model yang hadir di pasaran Malaysia benar-benar menepati cita rasa pengguna kita,” jelasnya.

Lebih menarik, skuter tersebut akan dilancarkan secara rasmi ketika MForce Motorshow yang akan berlangsung pada Mei 2026.
Atas kertas, 400 GS ini dipacu enjin satu silinder 369cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 33.5hp pada 7,500rpm dan 38.3Nm pada 5,500rpm.

Meskipun spesifikasi terperinci belum didedahkan ekoran masih lagi dalam peringkat prototaip namun kami difahamkan skuter ini turut dilengkapid dengan ABS dwi-saluran, traction control dan skrin TFT secara standard. Bagaimanapun, prototaip yang didedahkan itu tidak menampakkan kehadiran dashcam setakat ini.

Antara perincian lain yang dapat kami kenal pasti termasuk fork USD, penyerap hentak berkembar, lampu LED, serta penghadang angin boleh laras secara manual.
GALERI: PROTOTAIP ARIIC 400 GS
























