
TESLA MODEL Y RAHMAH – ADA POWER WINDOW KE TAK NI?
Hanya beberapa jam selepas kod varian Tesla Model Y yang bocor tersebar, sebuah prototaip yang kelihatan seperti versi paling asas Model Y telah dikesan tanpa sebarang penyamaran oleh pengguna X, Ryan Marble, berhampiran Gigafactory Tesla di Texas.
Foto baharu ini mengesahkan penyingkiran bar lampu depan, bersama bampar depan yang lebih ringkas tanpa liang aero. Tak dinafikan ada peminat tegar yang akan kata ia nampak lebih “bersih,” walaupun ramai juga mungkin kata ia sekadar nampak lebih murah dan buruk.
Di bahagian belakang, bar lampu tengah juga hilang, begitu juga dengan lencana “T E S L A” yang biasa direnggangkan, menjadikan bahagian belakang nampak lebih polos dan kurang futuristik seperti kereta China 20 tahun lepas
Masih belum jelas sama ada perubahan pada bumbung yang sudah dilakukan, iaitu menukar panel kaca panoramik kepada panel hitam penuh. Rim pula kelihatan lebih kecil, hanya 18 inci berbanding set 19 inci yang dipasang pada varian RWD dan AWD semasa.
Inilah mungkin pandangan pertama kita terhadap Model Y versi mampu milik yang sudah lama dikhabarkan, sekali gus mencetuskan perdebatan sama ada ini betul-betul realiti. Jika ya, nampaknya model baharu ini mengambil pendekatan “kosong habis” berbanding Model Y sedia ada, dengan banyak ciri yang digugurkan berbanding versi lebih mahal.

Persoalan utama adakah versi “Rahmah” begini boleh membantu Tesla melonjakkan jualan di pasaran AS dan global, atau ia akan dilihat terlalu kompromi untuk menarik pembeli? Sudah tentu, jawapannya banyak bergantung pada harga terutamanya jika dibandingkan dengan Model Y Long Range Rear-Wheel Drive asas, yang kini bermula pada $44,490 di AS selepas rebat cukai $7,500 ditamatkan.
Imej ini asalnya dikongsi akaun TheTeslaNewswire di X, yang mendakwa gambar tersebut sempat muncul sebentar di laman web Tesla sebelum ditarik balik. Dalam foto itu, Model Y asas ini tidak lagi memakai bar LED penuh lebar seperti crossover semasa, sebaliknya menggunakan sepasang lampu hadapan sempit yang mirip Model 3 facelift. Bampar depan juga dipermudahkan, hilang “air curtain” biasa dan hanya tinggal gril hitam polos di bahagian bawah.
Versi entry-level ini, dipercayai akan dikenali sebagai Model Y Standard, dipasang dengan rim 18 inci bersama penutup aero plastik hitam. Secara keseluruhan, inilah gaya paling minimalis yang pernah Tesla tampilkan untuk model mainstreamnya.
Beberapa perubahan lain turut dilaporkan, walaupun imej rasmi belum keluar. Akaun sama yang mengorek kod sumber laman web Tesla mendakwa bumbung kaca panoramik yang menjadi ciri standard pada semua model penumpang Tesla sekarang akan diganti dengan bumbung solid, dengan kemasan fabrik di bahagian dalam.
Stereng larasan manual juga akan disertakan. Di belakang, skrin baris kedua dibuang, digantikan dengan corong pendingin hawa manual. Tesla turut membuang penapis HEPA, selari dengan laporan seorang penggodam terkenal bulan lepas yang menyebut tentang pemotongan ciri serupa.
Satu petikan dari laman web Tesla tentang model baharu ini turut dikongsi di X oleh akaun sama. Tesla menggambarkannya sebagai menawarkan “kecekapan tiada tandingan” dan “penyelenggaraan hampir sifar”.
Bila ‘Murah’ Sebenarnya Tak Murah
Dan inilah isu paling penting iaitu harga. Model Y Standard khabarnya akan bermula pada $39,990 di Amerika Syarikat. Itu cuma $5,000 lebih murah berbanding Model Y Long Range RWD asas, yang mana nampak macam bukan tawaran yang bagus memandangkan banyak ciri dipotong pada versi Standard ini. Beberapa hari lalu, sebelum kredit cukai EV persekutuan ditamatkan, pembeli boleh mendapatkan Long Range RWD serendah $37,490.