Buletin

THE SCOUT. BASIKAL KE EASY RIDER? PADU TERUK NI!!!

Basikal elektrik masih baru dan kurang popular di negara ini. Kehadiran jenama The Scout yang menampilkan rekaan retro seakan-akan sebuah motosikal klasik mungkin mampu mengubah persepsi itu.

Menggabungkan gaya retro dengan komponen berkualiti, The Scout hadir dengan pilihan motor berkuasa 350W, 500W dan 750W (hub belakang Bafang).

Produk dari Auckland, New Zealand itu dijual pada harga bermula RM10,400 untuk The Scout 350, The Scout 500 (RM10,800) dan The Scout 750 pula berharga RM11,600 seunit.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa The Scout merupakan trend setter segmen basikal elektrik yang dimodelkan daripada motosikal klasik. Tangki minyak yang kelihatan seperti pada model Harley-Davidson itu sebenarnya menampung bateri.

Didatangkan lampu LED bulat, bar hendal lebar dengan kemasan balutan kulit, tempat duduk dan tayar gemuk menyerlahkan lagi penampilannya seperti sebuah motosikal easy rider klasik.

Kerangka badan The Scout diperbuat daripada Aluminium Alloy 6061 dan kemydian dipasang dengan tayar saiz 26 x 4.0 inci.

Basikal elektrik sepanjang 1.8 meter ini mempunyai berat sekitar 33kg. Walaupun tanpa suspensi atau shock absorber pada rodanya, perjalanan masih selesa disebabkan mempunyai tayar yang gemuk (dipam sekitar 22PSI) dan tempat duduk menyerap sebarang gegaran.

Boleh menampung berat maksimum sehingga 150kg, basikal itu sesuai untuk penunggang yang memiliki ketinggian 162.5 hingga 190.5cm.

Basikal itu turut didatangkan bersama bantuan pedal lima kelajuan,  gear tujuh kelajuan dan brek cakera hidraulik yang membolehkannya berhenti dengan cepat.

Kelajuan tertinggi yang boleh dicapai oleh The Scout adalah sekitar 45km/j. Dengan sekali cas, ia mampu bergerak di antara 25km hingga 70km .

The Scout juga mempunyai tiga tahap kuasa, dari paling rendah (ECO) hingga standard (STD) dan tertinggi (PWR). Jangan risau kalau bateri habis, penunggang masih boleh mengayuh menggunakan pedal seperti basikal konvensional.

Menurut Pengarah West Malaysia e-Bike Customs & Trading, Mahathir Mazahar Khan yang merupakan pengedar basikal The Scout, jentera itu baru sahaja tiba di Malaysia empat minggu lalu.

“Kami mensasarkan The Scout untuk penggemar aktiviti berbasikal, pencinta alam dan mereka yang ingin menjadikan basikal ini sebagai koleksi unik atau premium item.

“Basikal ini juga sangat sesuai untuk orang yang berbadan berat. Peningkatan kuasa secara beransur-ansur membolehkan ia menempuhi bukit dengan mudah,” katanya.

Tha Scout hadir bersama jaminan kerangka selama lima tahun, 2 tahun jaminan ke atas bateri Samsung dan jaminan setahun untuk komponen elektriknya.

Mereka yang berminat boleh mengunjungi laman web thescoutbikes.com.my. atau laman sosial Facebook Scout Bikes Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button