
ZXMOTO 820R LANCAR DI MALAYSIA SUKU KEDUA 2027 – BAWAH RM39K
ZXMOTO Malaysia bakal memperluas tawaran motosikal di Malaysia kali ini menerusi model ZXMoto 820R serba baharu.
Difahamkan, motosikal segmen naked itu akan dilancarkan di Malaysia pada suku kedua 2027 bersama-sama 820X dan 450 Rally.
Maklumat tersebut diperolehi ketika lawatan ke kilang ZXMOTO di Chongqing, China, pada Ahad.

Untuk rekod, 820R dikuasakan enjin tiga silinder 818.8cc 12-valve DOHC yang sama terdapat pada 820RR namun telah ditala semula. Hasilnya, unit itu kini menawarkan 130hp dan 78Nm. Ini bermakna, 820R ini lebih berkuasa dari Yamaha MT-09 dan Ducati Streetfighter V2.
Maklumat lebih terperinci masih belum didedahkan kecuali motosikal streetfighter ini menawarkan ketinggian tempat duduk sekitar 820mm dan berat (basah) 186kg. Selain itu, ZXMOTO memaklumkan 820R ini turut menawarkan pakej suspensi dengan pelarasan penuh.

Namun begitu, 820R masih mengekalkan pakej elektronik yang sama seperti 820RR antaranya 6-axis IMU, cornering ABS, lean-sensitive traction control serta riding mode.
Ciri lain turut ditawarkan termasuk bi-directional quickshifter, sistem keyless, meter TFT, steering damper, cruise control dan launch control.
Menariknya, kami difahamkan 820R ini akan ditawarkan dengan harga sekitar RM2,000 lebih rendah berbanding 820RR yang dijual dengan harga RM39,888.









