Buletin

TOYOTA AQUA 2021. BATERI NIKEL HIDROGEN, 35.8KM/L, PLATFORM TNGA-B, BERMULA RM76K

Toyota Motor melancarkan model hibrid kompak, Aqua generasi kedua ke pasaran Jepun. Dikenali sebagai Prius C di pasaran lain termasuk di Malaysia, Toyota mendakwa jentera itu menawarkan penjimatan bahan api 20 peratus lebih baik berbanding model terdahulu. 

Ditawarkan pada harga bermula ¥1.98 juta (RM76,000), Aqua hadir dalam varian asas B dan pacuan semua roda, E-Four. Ia juga boleh dilanggan pada kadar ¥19,580 (RM755 sebulan) daripada Kinto One untuk pelan selama tujuh tahun. 

Jentera itu dilengkapi sistem bateri nikel hidrogen yang menjanjikan kuasa dua kali ganda berbanding model lama. Sekali gus membolehkannya bergerak lebih jauh dengan kuasa elektrik sepenuhnya. 

Toyota mengurangkan jumlah alat ganti yang digunakan pada bateri nikel hidrogen untuk meningkatkan kapasitinya. Dibina di atas platform TNGA-B, model tersebut dikatakan mampu mencatat penggunaan bahan api sekitar 35.8km bagi setiap liter petrol.

Menggunakan operasi satu pedal (Comfort Pedal), Aqua juga dilengkapi ciri yang biasanya boleh didapati pada kenderaan elektrik. Misalnya ialah outlet kuasa (AC100 V / 1,500 W) dan mode bekalan kuasa sebagai standard. Mode Bekalan Kuasa Kecemasan membolehkan kereta itu menyalurkan kuasa kepada peralatan elektrik ketika bekalan terputus.

Biarpun nampak kompak, tapak roda Aqua ditambah sebanyak 50mm untuk memberikan ruang kaki dan ruang kargo lebih luas. Kereta itu juga tampil dengan skrin infohibur bersaiz 10.5 inci. 

Salah satu ciri utama Aqua 2021 ialah sistem bantuan parkir yang memerlukan pemandu hanya menekan satu butang untuk memarkir kereta. Ini merupakan kali pertama ciri berkenaan dipasang pada model murah Toyota. 

Toyota sudah menerima kira-kira 15,000 tempahan dan mensasarkan untuk menjual 9,8000 unit Aqua sebulan. Setakat ini, lebih 1.87 juta unit Aqua telah terjual di seluruh dunia sejak dilancarkan pada Disember 2011. 

Aqua dihasilkan di kilang Iwate, lokasi yang terjejas teruk apabila gempa bumi dan tsunami melanda Jepun pada Mac 2011. 

GALERI

Google ads
Back to top button