Buletin

KERETA PALING PUAS HATI? TOYOTA PRIUS. ADA BANTAHAN?

Kenderaan Toyota memang dikenali sebagai sebuah jenama yang boleh diharap, tahan lasak dan jarang meragam.

Tidak dinafikan, kenderaan Toyota juga ada kelemahan namun apa yang membuat Toyota sebagai pengeluar bagus ialah konsistensi.

Maknanya apabila kenderaan Toyota rosak, ia adalah suatu yang menghairankan dan bukan kelaziman.

Tetapi apa guna bercerita jika tiada fakta yang mendokong. Bukti terbaru tentang prestij sebuah Toyota ialah di dalam kaji selidik Driver Power 2019 yang diterbitkan oleh Auto Express.

Kajian di kalangan pemilik kenderaan baharu di United Kingdom mendapati Toyota Prius mencatatkan skor kepuasan pemilik sebanyak 93.22 peratus seterusnya dianugerahkan Kereta Tahunan Driver Power 2019.

Apa yang lagi hebat? Prius berjaya mengatasi Lexus IS yang berada ditempat kedua.

Walaupun tewas, perbezaan skor dengan Prius ibarat sehalus benang dengan catatan 93.19 peratus.

Apa lagi mahu dikata? Toyota dan Lexus daripada organisasi sama membolot kedudukan pertama dan kedua.

Jika dipanjangkan lagi senarai, dua buah model Lexus berada di kelompok sepuluh terbaik dan ini satu lagi bukti konsisten jenama Toyota dan Lexus.

Jika ada yang mendakwa Toyota boleh menang disebabkan kecenderungan menggunakan teknologi konvensional.

Jawapannya ialah Prius adalah kereta hibrid dengan sistem canggih dan rumit. Prius juga sebenarnya kereta hibrid terlaris dunia.

Walaupun pengeluar Jepun terbukti hebat, tidak bermakna jenama Eropah kurang baik.

Di tempat ketiga ialah Alfa Romeo Giulia apabila pemilik memuji segala ciri yang ada dan meletakkannya sebagai kereta baharu nombor satu di dalam aspek pemanduan dan pengendalian.

Satu lagi perkara menarik ialah enam daripada sepuluh ranking terbaik adalah sama ada kereta hibrid, plug-in hybrid atau kenderaan elektrik.

Keputusan ini bermakna, kereta mesra alam kurang ragam dan berjaya membuatkan pemilik gembira dan puas hati.

Fakta kurang enak pula ialah apabila jenama premium mencatatkan keputusan kurang baik.

Lebih separuh atau 52 peratus pemilik BMW X3 Mk2 mengadu tentang kerosakan sejak pemilikan.

Menduduki kelompok yang mengadu kereta mereka mempunyai masalah ialah Mercedes GLC 44 peratus, Land Rover Discovery Sport, 33.8 peratus, Jaguar XE, 31.4 peratus dan Jaguar F-Pace sebanyak 30.4 peratus.

Diasaskan pada 2002, Driver Power adalah kajian kepuasan hati kereta terbesar dan paling komprehensif di UK.

Pemandu kereta yang berusia sehingga 24 bulan ditanya tentang kesemua aspek pemilikan merentasi 31 perkara yang digabungkan bagi membentuk  sembilan kategori.

Di antara laporan yang berkenaan ialah ruang but, kualiti teknologi dalaman kereta, tahap ekonomikal, pemanduan dan pengendalian serta ketahanan.

Berikut ialah sepuluh kereta paling memuaskan hati Driver Power 2019:

1) Toyota Prius
2) Lexus IS Mk3
3) Alfa Romeo Giulia
4) Kia Sorento
5) Lexus RX
6) Skoda Kodiaq
7) Peugeot 3008
8) Hyundai Ioniq
9) Lexus GS
10) Kia Niro

Google ads
Back to top button