,
Artikel Pilihan

RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH TOYOTA CELICA GENERASI TERAKHIR

Salam Sejahtera buat semua pembaca Mekanika yang budiman. Aku adalah sebuah Kereta Sports dari Toyota. Budak budak baru nak up barangkali tidak pernah mengenali siapakah diriku ini. Jadi, marilah aku perkenalkan diri. Akulah Toyota Celica [sebut: Selika] generasi terakhir.

Sedikit sejarah untuk aku selusuri, keturunan aku ini mula ditemukan pada tahun 1970 ketika generasi pertama Celica ini diperkenalkan. Di kala itu, Moyang aku mula membuat kemunculan dengan rekabentuk coupe dua pintu. Barulah kelihatan Playboy. Eh silap. Kelihatan sporty. Sasaran utama Toyota dikala itu adalah untuk menembusi pasaran Amerika Utara yang sememangnya sedia maklum terkenal dengan model seperti Ford Mustang.

Baiklah, cukup sekadar aku ceritakan tentang sedikit sejarah, marilah aku perkenalkan secara terperinci tentang diri aku. Kalau diikutkan, aku ini adalah generasi ketujuh dalam keturunan Celica. Aku mula diperkenalkan pada tahun 1999, dengan menggunakan kod T230. Ketika itu, kehadiran aku bagi menggantikan model generasi keenam.

Selaku pengganti kepada Celica yang menggunakan kod T200, sudah tentu paras rupa aku semestinya lebih menarik dan mengancam berbanding model terdahulu. Sekali imbas memang nampak sporty habislah Dan orang yang bertanggungjawab untuk mereka bentuk aku adalah Tadashi Nakagawa selaku Ketua Jurutera. Dengan profil hadapan yang rendah dan lebih tajam (berbanding model sebelumnya kelihatan sedikit lembut rekaannya), bahagian pillar belakang pula yang dipotong terus menjadikan diri ku ini sebenarnya tidak sesuai langsung untuk membawa empat penumpang dewasa. Jenuh pula nanti penumpang belakang nak kena menunduk sepanjang masa. Jelas sekali dari segi visual, aku ini tampak sememangnya menjadi idaman Playboy di kala itu.

Walaupun lahiriah aku kelihatan amat selaju, namun tujuan utama kehadiran aku bukanlah untuk menjadi juara di mana – mana litar. Opsyen enjin 1.8 liter 1ZZ-FE ditawarkan untuk pemuda yang tidak begitu gemar akan kelajuan. Bolehlah nak dapat kuasa setakat 140bhp. Manakala buat anak muda yang gemar memecut di atas lebuhraya, penawaran enjin 2ZZ-GE kemudiannya yang mampu menghamburkan kuasa 189bhp. Enjin yang berkuasa ini menggunakan blok aluminium sepenuhnya untuk mengurangkan berat keseluruhan serta turut dilengkapi dengan teknologi baharu VVTL-i yang mampu berikan kuasa pecutan pada hampir semua kondisi kelajuan.

Di waktu itu, aku ini boleh tahan popular jugalah baik di pasaran Amerika mahupun Eropah. Di bumi Malaysia pun aku ini boleh tahan popular juga. Cuma tak menang anugerah ABPBH aja.

Namun, diatas beberapa faktor terutamanya membabitkan hal emisi, akhirnya riwayat aku sebagai sebuah Celica ini terpaksa ditamatkan pada April 2006 setelah mula menemui peminatnya buat pertama kalinya pada tahun 1970. Dan dikhabarkan, sejumlah 4,129,626 unit Toyota Celica telah diproduksikan keseluruhannya sepanjang tempoh tersebut.

Sudah lebih 10 tahun tiada pengganti diriku. Saudara ku si Supra itu pun sudah berpengganti. Rasanya kalau ikut nilai estetika, maka sewajarnya Celica ini juga punya generasi kelapan. Menurut Masayuki Kai, selaku Pembantu Jurutera bagi Supra, mereka sememangnya ada perancangan untuk mengembalikan jenama Celica ini. Entahlah. Kita tunggu sahajalah masa dan ketikanya yang sesuai.

BACA : RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH SEBUAH PROTON SUPRIMA S

BACA : RIWAYAT HIDUP – AKU ADALAH KIA FORTE KOUP DAN AKU BUKANLAH PLAYBOY

Tags
Google ads
Back to top button