
TOYOTA FT-3E CONCEPT, LAGI BESAR DARIPADA BZ4X, PLATFORM EV UNTUK PELBAGAI MODEL
Tontonan segerombolan kenderaan elektrik (EV) Toyota nampaknya tidak berakhir setakat Japan Mobility Show baru-baru ini dan berlanjutan sehingga Forum Kenshiki Toyota di Brussels, Belgium.
Toyota membawa pelbagai model EV termasuk FT-3e concept dan kali ini lebih banyak maklumat dikongsikan.
FT-3e menggunakan seni bina kenderaan elektrik bateri (BEV) generasi baharu yang boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk di antaranya model konsep Lexus LF-ZC dan juga kereta sport FT-Se.
BEV generasi baharu itu direka bagi mendapatkan berat seringan mungkin dan aerodinamik yang dioptimumkan untuk meningkatkan kecekapan dan jarak dan pada masa yang sama menumpukan pada penggunaan sumber dengan cekap.
Satu lagi yang menarik, FT-3e turut menggunakan pelbagai teknologi canggih dan menjadi perantara untuk perkongsian maklumat dan tenaga kepada dan daripada kereta dan juga sekeliling.
Rekaan badan FT-3e jelas berkotak namun diseimbangkan dengan bentuk bumbung yang bergaya.
Pada sisi pintu terpampang paparan digital yang memberi maklumat seperti tenaga bateri, suhu dalaman dan kualiti udara.
Dari segi saiz, FT-3e boleh memuatkan lima penumpang dan berukuran panjang 4,860 milimeter (mm), lebar 1,955 mm, tinggi 1,595 mm dan jarak roda 3,000 mm.
Sebagai perbandingan dengan bZ4X, FT-3e 170 mm lebih panjang, 145 mm lebih lebar dan 550 mm lebih rendah.
Memandangkan bZ4X adalah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), boleh disimpulkan bahawa FT-3e ialah crossover saiz besar. Bahagian dalam nampak futuristik dan sekali lagi membawa gaya berkotak.
Berbekalkan sejumlah model di Belgium, pelanggan di Eropah boleh menantikan versi jalanan FT-Se, FT-3e, Sport Crossover, Urban SUV dan Lexus LF-ZC yang bakal dilancar pada tahun-tahun mendatang.
Dengan ini jelas bahawa Toyota bukan anti EV cuma menyeimbangkan penawaran pelbagai jenis nadi kuasa elektrik termasuk kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen!
BACA: TOYOTA CAMRY XSE BAHARU UNTUK SIRI PERLUMBAAN NASCAR!
BACA: TOYOTA CAMRY 2025, 2.5L HIBRID SAHAJA, DIREKA DI AMERIKA SYARIKAT
BACA: TOYOTA CROWN SEDAN DILANCAR DI JEPUN, FCEV DAN HIBRID!
BACA: 300 JUTA KENDERAAN TOYOTA DIKELUARKAN SEJAK 1935, SIRI COROLLA PALING BANYAK!
BACA: TOYOTA CROWN KEMBALI, SEDAN PREMIUM DAN TINGGI DARIPADA CAMRY!
















