Buletin

TOYOTA CAMRY XSE BAHARU UNTUK SIRI PERLUMBAAN NASCAR!

Toyota Camry generasi kesembilan diperkenal di Amerika Syarikat pada 15 November dan tidak sampai dua minggu Toyota mendedahkan kereta lumba Camry XSE untuk Piala Siri NASCAR (NCS).

Toyota mempunyai rekod baik melalui Camry TRD Next Gen yang menghasilkan 18 kemenangan dan 25 kedudukan petak pertama pada dua musim perlumbaan sebelum ini.

Toyota, TRD (Toyota Racing Development, AS) dan studio reka bentuk Toyota Calty Design bekerjasama bagi memastikan ciri-ciri rekaan Camry XSE jalanan dapat diulang semula pada jentera lumba ini.

Dari jauh boleh dilihat grafik depan yang membawa gambaran yu kepala tukul dengan lampu depan nipis dan lebar.

Selain grafik lampu dan jeriji sarang lebah, jaring pada bampar, pemisah depan dan liang udara pada tukup enjin mempunyai fungsi tersendiri.

Sisi kereta dibuat ringkas dan bahagian belakang diserlahkan dengan spoiler dan peresap bawah.

Keseluruhan badan kereta nampak lembut bagi merentasi angin atau mengekori rapat kereta depan seperti kebiasaan perlumbaan NASCAR.

Toyota tidak berkongsi maklumat enjin dan sebagai rujukan, kuasa jentera Next Gen NASCAR dihadkan kepada 550 kuasa kuda (hp) atau 670 hp bergantung kepada litar.

Sesaran enjin pushrod dihadkan kepada 5.86 liter dengan bentangan V8 dan kuasa alami (naturally-aspirated). Kotak gear lima kelajuan transgandar dibekalkan X-Trac.

Toyota sememangnya bergiat aktif di litar lumba Amerika Syarikat dan satu-satunya pengeluar di dalam NASCAR yang terlibat dalam tiga siri kebangsaan.

Camry di dalam NCS, GR Supra di dalam NASCAR Xfinity dan Tundra Pro di dalam NASCAR CRAFTSMAN Truck Series (NCTS).

Sejak menyertai NCS dan NXS pada 2007, Toyota berjaya menang 180 perlumbaan dan tiga kejuaraan NCS, 201 kemenangan dan empat kejuaraan NXS.

Di dalam NCTS, Toyota menang 228 perlumbaan dan sembilan siri kejuaraan trak sejak pertama kali berlumba pada 2004.

Untuk Piala Siri NASCAR 2024, ada lapan buah jentera Camry XSE akan bersaing!

Google ads
Back to top button