Buletin

TOYOTA CAMRY 2025, 2.5L HIBRID SAHAJA, DIREKA DI AMERIKA SYARIKAT

Dikeluarkan pada Mac 1982, Toyota Camry kini memasuki generasi kesembilan selepas model baharu diperkenal di Amerika Syarikat pada 15 November.

Berada di dalam era elektrifikasi, Camry pasaran Amerika Syarikat hanya ditawarkan sebagai kenderaan elektrik hibrid (HEV).

Camry terbaru ini direka di studio CALTY Toyota di Newport Beach, California dan Ann Arbor, Michigan.

Rupa depan terus membawakan wajah yu kepala tukul dan bahagian sisi dan belakang mengingatkan kepada generasi kelapan.

Menggerakkan Camry ialah enjin 2.5 liter dengan Sistem Hibrid Toyota Generasi Kelima (THS 5) yang mempunyai dua motor elektrik.

Model pacuan roda depan (FWD) menghasilkan 225 kuasa kuda (hp) manakala model pacuan semua roda elektronik berasaskan permintaan (AWD) lebih bertenaga dengan 232 hp. 

Satu ciri menarik ialah jurutera Toyota menala sistem HEV pada kelajuan rendah bagi mengurangkan ligatan enjin (RPM) dan meningkatkan kuasa dari bateri.

Penalaan itu memberikan rasa pecutan dan tujahan lebih baik. Pertama kali untuk semua varian Camry Hybrid, Toyota menawarkan sistem AWD.

Sistem AWD berasaskan permintaan memberi cengkaman tambahan apabila diperlukan seperti cuaca buruk atau melalui selekoh.

Kuasa pacuan tersebut didatangkan daripada motor tambahan atau penjana motor elektrik belakang yang membekalkan kuasa secara automatik kepada roda belakang apabila diperlukan.

Sistem kawalan pacuan elektronik membahagikan daya kilas depan dan belakang dengan jitu mengikut keadaan pemanduan bagi membantu pecutan, pengendalian dan penggunaan bahan api.

Sistem itu juga membantu dalam kestabilan memandu di atas permukaan licin seperti bersalji.

Seperti yang dikatakan, sistem THS 5 dan AWD menghasilkan 232 hp atau pertambahan 30 hp berbanding sistem AWD jenis mekanikal.

Jurutera Toyota turut membuat penalaan semula sistem ampaian untuk meningkatkan tindak balas dan kelincahan pengendalian dan menambah keterujaan ketika melalui jalan berselekoh.

Varian lebih sporti mempunyai talaan ampaian khas dengan pemanduan lebih selesa selain kestabilan, pengendalian dan keyakinan lebih baik semasa memegang stereng.

Pada bahagian dalam, papan pemuka direka tegak dan menggunakan garisan melintang.

Camry LE dan SE dilengkapi meter digital tujuh inci dan lebih besar untuk Camry XLE dan XSE dengan saiz 12.3 inci dan ditawarkan sistem papar pandu (HUD) 10 inci.

Sistem Multimedia Audio Toyota beroperasi melalui skrin lapan inci atau skrin pilihan 12.3 inci. Sistem itu dilengkapi sambungan tanpa wayar Apple CarPlay® dan Android Auto™.

Kuasa bateri telefon boleh ditambah di atas pad pengecas tanpa wayar Qi. Toyota turut membekalkan slot USB-A dan USB-C dengan tiga di depan dan dua di belakang.

Dari segi keselamatan, kesemua varian dilengkapi sistem Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0) yang merangkumi Sistem Pra Pelanggaran dengan Pengesanan Pejalan Kaki dan Bantuan Pengesanan Lorong.

Turut dilengkapi Kawalan Pandu Radar Dinamik Kelajuan Penuh, Peringatan Tersasar Laluan dengan Bantuan Stereng, Bantuan Isyarat Jalan Raya, Lampu Tinggi Automatik dan Bantuan Pemanduan Proaktif.

Monitor Titik Buta dan Peringatan Lintasan Trafik Belakang juga dijadikan ciri asas untuk semua varian.

Toyota Camry 2025 dijangka tiba di pengedar Toyota di Amerika Syarikat pada musim bunga 2024 (Mac – Jun).

Untuk pasaran tempatan, sekiranya dibawa masuk dan berdasarkan generasi sebelum ini Camry akan diperkenalkan terlebih dahulu di Thailand.

BACA : TOYOTA CROWN SEDAN DILANCAR DI JEPUN, FCEV DAN HIBRID!

BACA: 300 JUTA KENDERAAN TOYOTA DIKELUARKAN SEJAK 1935, SIRI COROLLA PALING BANYAK!

BACA: TOYOTA CROWN KEMBALI, SEDAN PREMIUM DAN TINGGI DARIPADA CAMRY!

BACA: TRD PERFORMANCE PACKAGE UNTUK TOYOTA TUNDRA, DARI 389 HP KEPADA 421 HP!

BACA: TOYOTA SEDIA SIMULATOR UNTUK CUBA ISODYNAMIC PERFORMANCE SEAT, KERUSI DENGAN PENYERAP HENTAK!

BACA: TOYOTA FT-Se, KERETA SPORT ELEKTRIK TAMPIL GARANG DI TOKYO!

Google ads
Back to top button