
TOYOTA KIJANG INNOVA PALING LARIS DI INDONESIA, CATAT JUALAN 6,486 UNIT
Toyota Kijang Innova sekali lagi mendahului senarai kereta terlaris di Indonesia pada September 2023, sekali gus mengekalkan gelaran ini selama tiga bulan berturut-turut sejak Julai 2023.
Berdasarkan data Gabungan Industri Automotif Indonesia (Gaikindo), penjualan Innova dari kilang kepada pengedar pada September 2023 mencapai 6,486 unit.
Angka tersebut bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding penghantaran pada Ogos 2023 sebanyak 7,463 unit.

Jualan Innova adalah termasuk model Zenix generasi baharu dengan enjin konvensional dan hibrid, serta generasi sebelumnya, Reborn, yang masih dalam pengeluaran.
Sementara itu, Honda Brio berjaya berada di kedudukan nombor dua, memintas Daihatsu Sigra sebagai kereta terlaris bulan lalu.
Untuk rekod, jualan Honda Brio Satya dan RS mencecah 5,739 unit, manakala Daihatsu Sigra pula mencecah 5,315 unit.
Sementara itu, Toyota Avanza turun satu anak tangga ke tempat keempat pada September 2023. Jualan kereta sejuta umat ini ialah 3,975 unit bulan lepas.
Berikut ialah senarai lengkap 10 kereta dengan jualan borong terlaris di negara ini pada September 2023:
- Toyota Innova (Zenix & Reborn): 6,486 unit
- Honda Brio (Satya & RS): 5,739 unit
- Daihatsu Sigra: 5,315 unit
- Toyota Avanza: 3,975 unit
- Toyota Calya: 3,544 unit
- Daihatsu Gran Max Pick Up: 3,405 unit
- Suzuki Carry Pick Up: 3,353 unit
- Toyota Rush: 3,025 unit
- Mitsubishi Xpander (termasuk Cross): 2,757 unit
- Honda HR-V: 2,162 unit
Gaikindo juga melaporkan jualan kereta di Indonesia pada September 2023 berjumlah 79,883 unit, turun 10.12 peratus berbanding bulan sebelumnya.