TOYOTA SEDIA CETUS TRANSFORMASI BAHARU UNTUK ELEKTRIFIKASI DAN HIDROGEN
Toyota baru-baru ini mengadakan ‘Toyota Technical Workshop’ bertemakan ‘Let’s Change the Future of Cars’ serta mengumumkan pelbagai teknologi baharu untuk kenderaan elektrik (EV) dan hidrogen, termasuk konsep yang sedang dibangunkan.
Menurut Toyota, tiga pendekatan menjadi kunci utama bagi mencapai visi syarikat berkenaan iaitu elektrifikasi, kecerdasan serta kepelbagaian.
Tambahnya, Toyota sedia untuk memperkenalkan rangkaian model dengan kuasa optimum bagi EV selain, mengembangkan hubungan bersama masyarakat menerusi Woven City, yang menjadi nilai penting untuk mempercepatkan trend semasa.
Turut menjadi perhatian Toyota adalah untuk membangunkan sistem keselamatan lebih baik pada model dikeluarkan kelak, sekali gus membolehkan ia mendapat kepercayaan daripada pelanggan sedia ada atau akan datang.
Bateri EV Generasi Baharu
“Apa kami harap dapat dicapai dengan BEV Factory, sebuah organisasi khusus untuk bateri EV yang dilancarkan pada bulan Mei, adalah untuk mengubah masa depan dengan BEV melalui transformasi kereta, pembuatan serta cara kami bekerja,” memetik kenyataan Toyota.
“Melalui teknologi seperti penyepaduan bateri generasi akan datang dan teknologi baharu, kami berupaya menawarkan jarak gerak kenderaan sehingga 1,000 km,” tambahnya.
“Fokus kami juga untuk membawa reka bentuk yang lebih bergaya, prestasi Aerodinamik disokong oleh AI, manakala pereka akan menumpukan sepenuhnya pada kepekaan semula jadi.”
Seperti EV manual, Toyota berpendapat bahawa ia akan memberikan kejutan dan keseronokan yang menarik kepada pelanggan dengan teknologi boleh dicapai oleh pembuat kereta.
Selain itu, Toyota juga akan melancarkan BEV generasi baharu secara global pada 2026. Menjelang 2030, 1.7 juta unit daripada 3.5 juta secara keseluruhan disediakan oleh Kilang BEV.
China, Eropah Jadi Tumpuan Utama Untuk Hidrogen
Bagi hidrogen pula, Toyota menjangkakan ia bakal menjadi begitu besar untuk pasaran di Eropah, China, dan Amerika Utara menjelang 2030.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai sasaran tersebut, Toyota perlu bergerak lebih pantas terutamanya dalam R&D di pasaran utama, terutamanya di Eropah dan China.
“Kami berusaha ke arah pengkomersilan berskala penuh untuk mencapai inisiatif ini. Sistem generasi akan datang berupaya mengurangkan kos sebanyak 37 peratus melalui kemajuan teknologi, kecekapan volum dan penyetempatan.
“Tambahan pula, dengan kerjasama rakan kongsi, jika kami menerima tawaran untuk 200,000 unit pada tahun 2030, kami dapat mengurangkan kos sebanyak 50 peratus dan menjana keuntungan yang kukuh.”