TOYOTA PAMER MODEL KONSEP SERTA TEKNOLOGI BAHARU DI JAPAN MOBILITY SHOW 2023 – ADA KERUSI RODA ELEKTRIK JUGA!
Bersempena dengan Japan Mobility Show 2023, Toyota dengan temanya ‘Let’s Change the Future of Cars’ bakal mempamerkan beberapa model konsep serta teknologi baharu untuk pengunjung acara berkenaan.
Model pertama adalah Kayoibako, van mini berkuasa elektrik yang mampu memenuhi pelbagai keperluan pengguna.
Dengan rekaan kompak serta susun atur ruang kabin yang modular, menjadikan ia fleksibel untuk digunakan sama ada sebagai kedai bergerak, campervan, atau van penghantaran barang.
Untuk kegunaan persendirian, Kayoibako boleh disesuaikan mengikut citarasa dan keutamaan individu, berkembang menjadi mobiliti yang unik.
Selain memenuhi keperluan peribadi dan gaya hidup pelbagai, Kayoibako juga direka untuk menawarkan akses yang lebih mudah untuk pengguna kerusi roda.
Selain Kayoibako, turut dipamerkan ialah Land Cruiser Se, EPU, Land Hopper, JUU, Space Mobility dan teknologi NEO Steer.
Bagi model Land Cruiser Se, ia tampil rekaan elegan dengan susun atur tiga baris tempat duduk yang memenuhi keperluan pengguna.
Model ini juga hadir dengan ruang kabin lebih selesa selain, monocoque body menjadikan pengendalian lebih responsif dalam pelbagai situasi atau jenis jalan raya.
Memiliki dimensi 5,150mm / 1,990mm / 1,705mm dan jarak roda 3,050mm, Land Cruiser Se mampu memuatkan sehingga tujuh orang penumpang.
Seterusnya adalah EPU, trak pikap konsep bersaiz sederhana, mampu menyokong pelbagai gaya hidup mobiliti termasuk mempunyai keupayaan lebih lasak.
Menurut Toyota, ia mempunyai ukuran dimensi 5,070mm / 1,910mm / 1,710mm dan jarak antara roda diletakkan pada 3,350 serta boleh memuatkan lima penumpang.
Seterusnya ialah Space Mobility, kenderaan untuk memajukan pembangunan, terutamanya teknologi sistem pemacu, bertujuan mewujudkan mobiliti untuk kegunaan di bulan dan di angkasa lepas.
Setiap roda dilengkapi dengan motor dan sterengnya sendiri, sebagai sebahagian daripada spesifikasi sedang dibangunkan untuk menyediakan pemanduan yang selamat dan boleh dipercayai.
Dikuasakan elektrik dengan prestasi pemanduan luar biasa, ia mampu mengemudi batu setinggi sehingga 50cm serta mendaki cerun curam 25°.
Tambah Toyota, teknologi ini akan digunakan dalam kenderaan mobiliti angkasa seperti Lunar Cruiser.
Selain kenderaan empat roda, Toyota bahkan turut mempamerkan jentera dua roda, bahkan tiga roda iaitu Land Hopper.
Land Hopper adalah basikal elektrik beroda tiga dan direka untuk boleh dilipat bagi memudahkan ia senang diletakkan dalam ruang kereta yang terhad.
Boleh ditunggang tanpa lesen memandu (berumur 16 tahun ke atas), ia juga sesuai digunakan oleh warga emas.
Saiz badan yang ideal dan ketinggian tempat duduk diletakkan begitu rendah, ini memudahkan anda mencapai tanah atau naik/turun.
Beralih kepada JUU pula, kerusi roda elektrik ini ialah mobiliti konsep baharu yang direka untuk menawarkan kebebasan untuk mengembara ke mana-mana tanpa bantuan.
JUU meluaskan dunia pengguna dengan membolehkan mereka menavigasi tempat yang sukar diakses dengan kerusi roda elektrik atau biasa.
Apabila memanjat atau menuruni tangga, dua roda berkuasa besar (roda utama) di sisi JUU boleh ditarik terbalik ke bawah dari belakang sandaran untuk mengelakkan ia terbalik dan menstabilkan semula kerusi roda.
JUU secara automatik mengekalkan postur yang optimum dan Toyota menggunakan komponen berkualiti tinggi bagi membolehkan ia mendapat kepercayaan yang tinggi.
Dalam pada yang sama, Toyota juga sedang meneroka fungsi termaju bagi membolehkan JUU bergerak secara autonomi.
Turut menanti pengunjung Japan Mobility Show 2023 adalah teknologi NEO Steer, kokpit konsep baharu berasaskan bar hendal motosikal, menyepadukan fungsi pemecut dan pedal brek ke dalam stereng.
Dengan ruang luas di kaki, ia membenarkan pemandu berasa lebih selesa dan untuk itu, NEO Steer akan membantu pemandu merasai pengalaman baharu ketika berada di dalam kereta.
Selain itu, melalui kokpit konsep ini, ia membolehkan pemandu yang mengalami cacat anggota bawah badan berupaya untuk memandu.
- BACA: TOYOTA SEDIA CETUS TRANSFORMASI BAHARU UNTUK ELEKTRIFIKASI DAN HIDROGEN
- BACA: TOYOTA GRMN SUPRA 2025 SEDANG DIUJI, MODEL TERAKHIR SUPRA?
- BACA: TOYOTA PERKENALKAN RANGGA DI INDONESIA, MODEL KONSEP SERBA BOLEH
- BACA: TENTANG CALTY DESIGN RESEARCH – SEBUAH STUDIO REKAAN TOYOTA YANG KITA TIDAK TAHU