
INI JAWAPAN TOYOTA KEPADA HONDA CITY e:HEV RS, VIOS HIBRID
Pada awal tahun 2023, laman sesawang permotoran Headlightmag telah melaporkan yang besar kemungkinan Toyota Vios (atau Yaris ATIV bagi pasaran Thailand) akan dihasilkan dalam varian hibrid. Vios bagi pasaran Thailand menggunakan enjin 1200cc yang hanya menjana 91 kuasa kuda dan 109Nm tork sahaja
Bagi pasaran Malaysia, Vios varian petrol D92A tidak dikategorikan sebagai Low Cost Green Car dan menggunakan enjin 1500cc 4 silinder menjana 104hp dan 138 Nm tork. Namun berita terbaru mengatakan Toyota Vios varian hibrid dengan kod projek D54B bakal dilancarkan untuk pasaran China.
Model D54B ini akan menggunakan sistem hibrid terbaru yang dihasilkan oleh Toyota yang lebih berkuasa dan menjimatkan bahan api dengan mensasarkan pelanggan yang memilih untuk membeli Honda City Hybrid e:HEV RS.
Biarpun menggunakan platform DNGA yang dibangunkan oleh Daihatsu, Vios sebenarnya menggunakan bahan kedap bunyi yang lebih baik berbanding dengan model Daihatsu yang lain. Namun komplen yang paling besar diterima oleh Vios ialah kuasa enjin yang semakin berkurang walaupun pecutan 0-100km/jam adalah 2 saat lebih pantas.
Jika anda tidak gembira dengan prestasi Vios petrol D92A, maka Vios D54B hibrid yang sedang dibangunkan mungkin akan menggembirakan akan anda. Vios hibrid akan dipacu dengan enjin 2NR-VEX yang menggunakan kitaran enjin Atkinson bagi kecekapan bahan api dan menjana 90 kuasa kuda serta 120Nm tork.
Namun ia akan digandingkan dengan motor elektrik yang berkuasa 79 kuasa kuda serta 141Nm tork. Gandingan bateri ion lithium 0.7kWh,motor elektrik dan enjin ini akan menjana 109 kuasa kuda namun tork akan sampai lebih awal dengan penggunaan motor elektrik akan memberikan pecutan yang lebih baik.
Model D54B hibrid juga diberitakan akan dihasilkan di fasiliti pemasangan Toyota Bukit Raja bersama-sama dengan model petrol D92A. Model ini dijangkakan akan mula diperkenalkan dan dijual pada awal tahun 2024 nanti.
Sumber: Automachi

