Artikel Pilihan

LI AUTO MEGA MPV - MUNGKIN INILAH DIA MPV MEGA TERPELIK

Sebuah firma pengeluar kenderaan dari China Li Auto Inc. bersedia untuk memperkenalkan model terbaharu mereka, Mega MPV. Model Li Auto Mega MPV ini adalah merupakan sebuah MPV elektrik sepenuhnya yang mempunyai saiz besar dan mungkin kelihatan sedikit pelik.

Sedikit info mengenai Li Auto, ianya telah ditubuhkan pada tahun 2015 yang berpangkalan di Beijing dan turut merupakan syarikat penyenaraian awam di pasaran NASDAQ. Sebelum ini mereka pernah mengeluarkan beberapa model SUV seperti Li Auto L7, L8 dan juga L9 yang merupakan model hibrid.

Ia merupakan model elektrik pertama sepenuhnya buat Li Auto yang akan membuat debut rasminya pada Disember 2023. Li Auto Mega MPV ini dibina di atas platform baharu yang menyokong pengecasan pantas sekali gus menandakan peralihan Li Auto ke dalam segmen BEV (battery electric vehicle).

Melihatkan rupa luarannya pasti kita akan mengingati akan sebuah model MPV bersaiz besar dari Korea Hyundai Staria. Cuma model Li Auto Mega MPV ini mempunyai rekaan bahagian belakang yang sedikit pelik proposisinya. Mungkin cuba meniru penampilan bahagian belakang seumpama sebuah coupe. Senang nak potong angin barangkali.

Tapi yang pasti, bahagian hadapan bumbung Mega MPV ini telah diletakkan LiDAR (Light Detection and Ranging) yang akan berfungsi sebagai teknologi remote sensing untuk memberikan sistem auto pemanduan yang lebih handal.

Untuk yang tidak mengetahui tentang kewujudan jenama Li Auto ini usah khuatir kerana buat masa ini mereka sememangnya mahu fokus terlebih dahulu terhadap pasaran domestik sahaja tanpa perlu meninjau pasaran luar.

Dikatakan, sekarang ini Li Auto mampu menjual secara purata 30,000 unit setiap bulan dengan model sedia ada. Dan dikatakan juga, bulan September yang lalu mereka berjaya menjual sehingga 36,000 unit. Li Auto menyasarkan untuk menjual sehingga 40,000 unit untuk bulan mendatang.

Untuk trenkuasa, walau pun belum disahkan, namun khabarnya ia akan menggunakan pek bateri terbaharu Qilin daripada CATL yang mampu membawa MPV ini bergerak sehingga 600 km serta hadir dengan pakej pengecasan pantas.

Khabarnya model Li Auto Mega MPV ini bakal dijual pada aras harga 500,000 Yuan (RM326092) sekali gus menjadikan ianya sebagai model perdana buat Li Auto ini.

BACA : WULING CAPGEMINI HYBRID PLATINUM EDITION – MPV CHINA HIBRID YANG ORAIT JUGA KAN

BACA : NAIK DENZA D9 DI SHENZEN CHINA. LAGI BEST DARIPADA ALPHARD?

Google ads

B K

Back to top button