Buletin

TOYOTA VELOZ RASMI DILANCARKAN. APPLE CARPLAY TANPA WAYAR, TOYOTA SAFETY SENSE, BERMULA RM95K

UMW Toyota Motor hari ini melancarkan secara rasmi kembar Perodua Alza, Toyota Veloz 1.5  ke pasaran tempatan. Veloz yang menawarkan kapasiti tujuh tempat duduk itu hanya hadir dalam satu varian dengan spesifikasi tertinggi. 

“Dengan kualiti binaan yang luar biasa, ciri-ciri termaju dan ruang dalaman luas, kami ingin menawarkan keterujaan kepada pelanggan setiap kali mereka memandu Veloz,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.  

Setakat ini, UMW Toyota Motor telah menerima lebih 6,000 tempahan Veloz dengan penyerahan bermula esok. Bagi mereka yang baru membuat tempahan, tempoh menunggu adalah sekitar lima hingga tujuh bulan. 

Model pemasangan tempatan (CKD) itu dilihat jauh lebih baik berbanding Avanza yang telah terjual lebih 178,000 unit sejak diperkenalkan pada tahun 2004. Ia menjanjikan pemanduan lebih selesa dengan platform pacuan roda hadapan dan suspensi lasak, walaupun dipandu di laluan yang kasar. 

Veloz dikuasakan oleh enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang mampu menjana 106PS pada 6,000rpm dan tork 138Nm pada 4,200rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT yang kompak dan menjimatkan bahan api.

Pemandu juga boleh memilih di antara tiga mode pemanduan iaitu ECO, Normal dan Power, bergantung kepada situasi. Berbeza dengan Avanza yang menggunakan pacuan roda belakang, Veloz sebaliknya dilengkapi pacuan roda hadapan. 

Tampil dengan rekaan tersendiri, Veloz nyata menyerlah apabila dilengkapi gril besar berwarna hitam berkilat, sepasang lampu  LED nipis bersama ciri Follow Me Home, lampu nyalaan siang (DRL) LED, roof rails yang mampu menampung beban sehingga 75kg dan rim dua tona bersaiz 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 205/50 R17. 

Tidak ketinggalan, lampu isyarat membelok jenis sequential, cermin sisi lipat automatik dan banyak lagi. Bahagian belakang pula nampak menarik dengan bar lampu LED, spoiler dan kemasan bawah bampar berwarna perak. 

Ruang kabin yang luas membolehkan tujuh orang penumpang duduk dengan selesa. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat jika perlu mengangkut barang yang banyak atau besar. 

Papan pemuka dilengkapi skrin sentuh bersaiz sembilan inci bersama ketersambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Ciri-ciri lain yang ada termasuklah Electric Parking Brake (EPB), pad pengecasan tanpa wayar Qi, tiga port USB dan skrin paparan multi-info LCD bersaiz tujuh inci. Pemandu boleh mengubah suai susun atur dan maklumat skrin LCD tersebut melalui empat paparan berbeza.

Kemewahan ruang itu ditingkatkan lagi dengan balutan upholsteri separa kulit bersama padding lembut pada panel-panel. Ia juga dipasang dengan lampu ambien pada konsol tengah dan panel pintu. 

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Veloz dilengkapi Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri utama seperti Pre-Collision System (PCS), Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention dan Lane Keeping Control (LKC). Kunci pintu juga akan dibuka apabila pemandu menghampiri dan lampu kaki akan menyala secara automatik. 

Selain biru dan perak yang hadir dengan bumbung hitam, Veloz yang ditawarkan pada harga bermula RM95,000 seunit (tanpa insurans) juga didatangkan dalam warna putih, hitam dan merah metalik. 

Veloz didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan. Selain program bantuan tepi jalan 24SEVEN, pembaikan kecil di lokasi dan perkhidmatan menunda bernilai RM400 (tertakluk kepada terma dan syarat). 

Bagi meraikan sambutan Deepavali, UMW Toyota Motor turut mengumumkan promosi akhir tahun yang melibatkan rebat tunai dan aksesori percuma bernilai sehingga RM4,000 dan pembiayaan 100 peratus dengan bayaran bulanan serendah RM515 ke atas model-model terpilih.

GALERI

Google ads
Back to top button