
DATUK BANDAR DIPENJARA KERANA RASUAH, LITAR F1 BERNILAI RM2.83 BILION DI VIETNAM TERBIAR
Vietnam merancang untuk menganjurkan Grand Prix Formula 1 pertama mereka pada 2020.
Justeru, litar perlumbaan permotoran Hanoi bernilai £540 juta (RM2.83 bilion) dicanangkan untuk mengalu-alukan kehadiran pelumba ternama dunia ketika F1 meluaskan jangkauannya ke wilayah baharu di seluruh dunia.
Vietnam menandatangani perjanjian 10 tahun bersama F1 pada 2018, perjanjian yang menelan kos sekitar £54 juta (RM283 juta) dan dibiayai oleh konglomerat swasta, VinGroup.

Namun edisi sulung GP Vietnam akhirnya dibatalkan kerana pandemik COVID-19. Sejak itu, ia tidak muncul-muncul dalam kalendar F1.
Pada 2021, ia digugurkan daripada jadual selepas Datuk Bandar Hanoi, Nguyen Duc Chung yang juga penyokong utama perlumbaan itu ditangkap. Dia kemudian dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas tuduhan rasuah.
Media kerajaan tahun lalu mendakwa pihak berkuasa menolak sebarang harapan untuk Vietnam mengadakan perlumbaan F1 di negara itu sehingga sekurang-kurangnya 2029. Bagaimanapun, pihak berkuasa enggan mengesahkan perkara itu kepada media antarabangsa.

F1 telah mengeluarkan kalendar 2023 bulan lalu dengan Vietnam sekali lagi diketepikan. Imej litar yang menampilkan sektor ketiga yang lurus sepanjang 1.5 kilometer, menyaksikan tempat duduk penonton sudah dibuang.
Litar sepanjang 5.63km itu yang dikelilingi rumput dan rumpai, sebahagiannya dipagar supaya tidak dimasuki orang awam.
Bagaimanapun, beberapa penunggang basikal dan motosikal dilihat melalui pintu pagar yang bercantum dengan jalan raya yang sibuk di tengah bandar.
Satu lagi bahagian litar dibuka untuk kegunaan rakyat Vietnam sebagai jalan awam. Belum diketahui sama ada, bila atau untuk apa litar itu akan digunakan pada masa hadapan. – Berita Harian
- BACA: YAMAHA 125ZR 2013 VERSI NOS DIJUAL PADA HARGA RM90,000 DI VIETNAM
- BACA: HONDA LANCAR WINNER X 2022 DI PASARAN VIETNAM. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM8,446
- BACA: HONDA ADV350 MUNCUL DI VIETNAM, BAKAL DIBAWA MASUK PENGEDAR PERSENDIRIAN
- BACA: VIETNAM BATALKAN SEMUA LESEN KAFE DAN PERNIAGAAN DI TRAIN STREET. TIADA LAGI TARIKAN SANTAI TEPI REL KERETA API