KENAPA PERODUA ALZA / TOVOTA VELOZ TIDAK DIBERIKAN PINTU MENGGELUNGSUR?
Dalam artikel pendedahan spesifikasi Perodua Alza terbaru yang akan dilancarkan tidak lama lagi, penulis sempat membaca beberapa komen dalam media sosial Facebook yang mengatakan adalah lebih baik jika MPV kompak ini dipasang dengan pintu yang menggelungsur ke sisi bagi memudahkan penumpang belakang keluar dan masuk.
Ciri pintu menggelungsur ini telah lama digunakan oleh MPV dari segmen C seperti Honda Stpwgn dan Nissan Serena. Malah MPV segmen D seperti Vellfire dan juga Kia Grand Carnival turut menggunakan pintu menggelungsur ini kerana bukaannya yang lebih luas dan mudah dibuka di kawasan sempit.
Jadi kalau pintu ini lebih bagus berbanding dengan pintu konvensional, kenapa ia tidak digunakan pada Perodua Alza atau Toyota Veloz yang terbaru?
1. Dibangunkan untuk pasaran Asia Tenggara – pembangunan model gantian Veloz dan juga Alza ini diketuai oleh jurutera Daihatsu yang bernama Eiji Fujibayashi khas untuk pasaran Asia Tenggara dan model ini tidak dijual di Jepun. Pembangunan model ini sebenarnya adalah khusus untuk pengguna Asia Tenggara termasuklah rekaan pintunya.
Pernahkah anda melihat rumah di Asia Tenggara menggunakan pintu menggelungsur sebagai pintu utama rumah, pintu bilik tidur atau pintu bilik air? Biasanya hanya kedai komersial sahaja yang menggunakan pintu menggelungsur ke atas dan kebanyakan rumah di Asia Tenggara termasuklah Malaysia, Indonesia dan Thailand menggunakan pintu daun yang biasa
Bagi rumah kediaman di Jepun, pintu menggelungsur adalah perkara normal kerana penduduk di sana sangat menghargai ruang. Malah jika anda perhatikan, kos rumah adalah sangat mahal di Jepun menyebabkan rumah mereka menjadi kecil. Menggunakan pintu konvensional adalah merugikan ruang
Jadi rekaan pintu sebegini diterapkan pada MPV Jepun yang mana kebanyakan MPV ini diparkir di ruang rumah yang terhad di Jepun. Mereka perlukan solusi ruang yang bagus dan pintu daun biasa akan menggunakan ruang yang besar di bahagian parkir dan menyusahkan penumpang lain untuk keluar masuk.
Jadi tidak hairanlah jika anda boleh menemui kebanyakan kereta dan MPV di Jepun dipasang dengan pintu menggelungsur. Bagi pasaran Asia Tenggara yang kebanyakannya memiliki halaman rumah yang lebih luas pula, pintu daun biasa adalah lebih disukai. Adakah anda masih ingat dengan Toyota Sienta?
Ia adalah MPV kompak segmen B sebesar saiz Alza yang diimport dar Jepun dan dijual di Asia Tenggara. Toyota berpendapat, jika Sienta mudah dijual di Jepun, maka ia akan laku di Asia Tenggara. Tanggapan ini salah sama sekali kerana Sienta agak susah dijual disini dan tidak lagi dijual di Malaysia, Taiwan dan juga Indonesia.
Selain daripada rekaan luarnya yang agak pelik, salah satu ciri Sienta adalah ia dipasang dengan pintu menggulungsur di bahagian belakang. Ia merupakan satu-satunya model MPV kompak ditawarkan dengan ciri tersebut. Jadi, bagi mengelakkan pembaziran sumber dan masa, maka Veloz dan Alza baru akan menggunakan pintu daun yang biasa.
2. Kos – pemasangan pintu menggelungsur juga adalah jauh lebih mahal berbanding dengan pintu daun yang biasa. Biasanya pintu menggelungsur akan dipasang di sebelah kiri dan kanan kereta. Bagi menjadikannya nampak lebih eksklusif, motor elektrik akan dipasang di kedua dua belah pintu bagi memudahkan penumpang keluar masuk.
Takkan nak pasang motor elektrik sebelah sahaja kan, dan sebelah lagi ditutup secara manual macam Vanette atau Mazda Bongo lama. Pintu ini biasanya boleh dikawal dengan suis oleh pemandu bagi tujuan keselamatan.
Keadaan ini akan menyebabkan harga jualan kenderaan meningkat dengan banyak. Sebagai contoh Sienta 1.5G dijual pada harga RM 90,200 hanya diberikan 1 pintu automatik sahaja.
Varian yang lebih mahal iaitu Sienta 1.5 V dijual pada harga RM 101,900 datang dengan 2 pintu menggelungsur automatik. Harga ini sebenarnya agak tinggi bagi sebuah MPV kompak segmen B yang disasarkan pada golongan marhaen, dimana faktor harga adalah sangat sensitif.
3. Berat – kaedah pintu menggelungsur dan juga pemasangan motor elektrik serta sistem kawalan menjadikan berat kenderaan semakin bertambah berat. Berat Toyota Sienta 1.5 V dengan 2 pintu menggelungsur automatik boleh menjadi sehingga 1350kg, sangat berat bagi sebuah MPV yang dikuasakan dengan enjin 1500cc sahaja
Sebagai perbandingan Toyota Veloz yang dipasang dengan pintu konvensional dengan semua ciri keselamatan tambahan seperti brek AEB dan sistem Toyota Safety Sense hanyalah seberat 1185kg sahaja. Berat tambahan ini akan mengganggu prestasi pecutan, brek dan keseronokan pemanduan.
Jadi inilah sebabnya Toyota Veloz, Daihatsu Xenia dan juga Perodua Alza kekal menggunakan pintu daun biasa bukannya pintu menggelungsur. Veloz perlu direka sebagai sebuah MPV sejuta ummat, tahan lasak, tidak rumit dan berupaya meredah permukaan jalan yang tidak rata dengan mudah terutama di Indonesia.