Buletin

WALAUPUN RM20K LEBIH MAHAL DARIPADA ALZA, TOYOTA VELOZ CATAT TEMPAHAN 5,200 UNIT

Bakal dilancarkan secara rasmi dan dikatakan RM20,000 lebih mahal berbanding Alza, Toyota Veloz nampaknya tetap mendapat perhatian pengguna tempatan apabila 5,200 unit telah ditempah setakat ini. 

Perkara tersebut didedahkan oleh UMW Toyota Motor ketika mengumumkan prestasi jualan kenderaan Toyota dan Lexus pada Ogos 2022. Toyota mencatat jualan  8,961 unit dan Lexus 130 unit menjadi 9,091 unit (Toyota + Lexus), berbanding 6,637 unit (Toyota + Lexus) pada Julai 2022.

Jualan keseluruhan sehingga Ogos adalah sebanyak 61,639 unit berbanding 38,085 unit dalam tempoh sama tahun lalu, naik sebanyak 62 peratus. 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K memberitahu pihaknya bekerja keras untuk meningkatkan produksi bagi mempercepatkan penyerahan kereta baharu kepada pelanggan. 

“Kami yakin Veloz akan popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana ia meawarkan nilai wang, ciri terbaik, selain kualiti dan ketahanan Toyota.” katanya. 

UMW Toyota Motor turut mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan model International Multi-Purpose Vehicle (IMV) yang telah dipertingkatkan iaitu Fortuner dan Hilux pada September dan Innova bulan depan. 

Tempahan model IMV tersebut bermula sejak 1 September dan bakal berada di semua cawangan Toyota pada bulan ini. 

Sempena meraikan kemerdekaan dan Hari Malaysia, UMW Toyota Motor akan menawarkan pakej menarik bernilai sehingga RM4,000 untuk varian terpilih Vios dan Yaris. Maklumat lanjut, kunjungi cawangan Toyota yang terdekat Toyota, layari laman web: Toyota.com.my atau hubungi talian 1-800-8-TOYOTA (869682).

Google ads
Back to top button