
AUTOPILOT TESLA VS LIDAR LEXUS – MANA LEBIH CEKAP MENGELAK PERLANGGARAN?
Hingga ini Tesla masih enggan menggunakan sensor LiDar pada kenderaan mereka dan sebilangan pakar teknologi menyatakan ia menjadikan kenderaan keluaran Tesla sedikit kurang selamat berbanding pesaing. Kini seorang YouTuber tampil untuk menunjukkan ujian sebenar antara kedua sistem ini dan hasilnya boleh dikatakan agak mengejutkan dan kelakar.

Mark Rober melakukan beberapa siri ujian menggunakan Tesla Model Y milik beliau sendiri dan sebuah Lexus RX yang dilengkapi dengan LiDar. Subjek utama dalam ujian ini ialah sebuah patung bersaiz kanak-kanak yang diposisikan di tengah-tengah jalan raya.
Pada sesi ujian yang pertama, patung tersebut diletakkan di tengah jalan raya dan Lexus mampu mengesannya dengan mudah pada kelajuan 64 km/j/ Tesla bagaimana pun menghentam terus patung malang tersebut dengan hanya bergantung kepada sistem brek automatik. Namun ujian seterusnya dengan sistem Autopilot aktif, ‘nyawa’ patung tersebut terselamat bila ia berhenti sebelum perlanggaran.

Seterusnya kedua kereta tersebut terpaksa berdepan dengan situasi kankak-kanak berlari dari belakang sewaktu hendak keluar dari pakir. Keduanya lulus dengan cemerlang.
Tesla bagaimanapun gagal bila patung kanak-kanak tersebut terhalang oleh kabus dan hujan buatan. LiDar? Lulus dengan cemerlang. Namun menariknya Tesla berjaya mengelak perlanggaran dalam simulasi cahaya menyilaukan yang meniru simulasi matahari terbenam. Terer juga kamera Tesla ni.
Paling menarik ujian terakhir yang kelihatan agak kartun sedikit. Halangan kali ini ialah dinding polistrin yang ditampal dengan gambaran jalanraya sebenar dan patung tersebut diletakkan di belakang dinding tersebut. Situasi macam ni hanya wujud dalam kartun Road Runner dulu-dulu kot?
Dengan bantuan LiDar, Lexus tersebut berhenti dengan kemas sebelum melanggar dinding polistrin tersebut kerana ia mengesan dinding dan bukannya gambar yang tercetak pada dinding. Tesla? Hmmm…. Dengan dinding dengan patung kanak-kanak semuanya dilanggar macam lembu naik minyak pada pagi Hari Raya Korban.
Sebenarnya kalau nak dikirakan kedua-dua sistem ini sama penting tapi kalau nak pasang dua-dua memang mahal weh. Silap-silap harga kereta jadi sama dengan harga pesawat pejuang.