Buletin

TRIUMPH DEDAH JENTERA BAHARU – SPEED 400 DAN SCRAMBLER 400 X, MULA DIJUAL PADA 2024

Triumph baru-baru ini memperkenalkan jentera baharunya iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X dengan gaya ikonik, kualiti serta menampilkan prestasi mengagumkan.

Dari segi penggayaan, kedua-dua jentera adalah berdasarkan model lebih besar, iaitu Speed Twin 900/1200 serta Scrambler 900/1200 selain terdapat kemasan berkualiti seperti powdercoat pada perumah enjin dan fork anodised berwarna emas.

Pilihan warna untuk Speed 400:

  • Carnival Red
  • Caspian Blue
  • Phantom Black

Pilihan warna Scrambler 400 X:

  • Matt Khaki Green/Fusion White
  • Carnival Red/Phantom Black
  • Phantom Black/Silver Ice

Perbezaan lain antaranya Speed 400 menggunakan rim 17×3 inci bersama cakera brek 300mm (hadapan), manakala Scrambler 400 X pula diserlahkan lagi menerusi rim 19×2.5 inci serta cakera brek 320mm.

Selain itu, saiz rim serta brek belakang kedua-duanya juga adalah sama, 17 dan cakera 230mm. untuk rekod, Scrambler 400 X menggunakan tayar Metzeler Karoo.

Kelengkapan Speed 400 dan Scrambler 400 X adalah seperti berikut:

  • Lampu jenis LED
  • Pendikit throttle-by-wire (tiada mod tunggangan),
  • Immobiliser
  • Panel paparan gabungan analog (rpm) dan LCD.

Bahagian dua jentera ini didatangkan serba baharu termasuk enjin siri TR berkapasiti 398cc, satu silinder dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan cecair dan DOHC.

Ia dipadankan bersama transmisi enam gear, menghamburkan kuasa 39hp pada 8,000rpm dan tork 37.5Nm pada 6,500rpm.

Perincian lain termasuklah unit fork USD 43mm (hadapan) dan monoshock gas RSU dengan pelarasan pra beban (belakang).

Walau bagaimanapun, jarak gerak kedua-duanya adalah berbeza di mana Speed 400 tampil dengan 140mm di hadapan dan 130mm di belakang, sementara Scrambler 400 X pula, 150mm untuk bahagian hadapan serta belakang.

Beralih kepada aspek keselamatan, ia dimuatkan dengan sistem ABS dual-channel serta kawalan cengkaman tetapi untuk ABS, hanya Scrambler 400 X sahaja boleh ditutup.

Bagi kawalan cengkaman, kedua-dua jentera hadir dengan pilihan untuk ditutup melalui butang di bahagian pemegang.

Untuk harga, Triumph bagaimanapun masih belum mendedahkan harga bagi kedua-dua jentera dan menurut Triumph, ia hanya akan mula dijual di pasaran pada awal 2024.

GALERI:

Google ads
Back to top button