Buletin

HOT WHEELS LEGENDS TOUR MALAYSIA 2023 TAMPIL DENGAN JURI TERKEMUKA

Hot Wheels Legends Tour kini kembali lagi di Malaysia buat kali keempat dengan perkembangan baharu yang mengujakan.

Buat julung kalinya, peserta pecinta kereta binaan sendiri (custom) akan dinilai secara langsung oleh Ketua Pereka Pembungkusan Hot Wheels Global, Matt Gabe pada Art of Speed 2023 ke-12.

Ia juga merupakan kali pertama diadakan secara fizikal berbanding tahun-tahun sebelumnya, dilangsungkan di dalam talian.

Peserta kini boleh membuat pendaftaran secara percuma dan membawa kenderaan masing-masing di acara Art of Speed, pukul 9 pagi pada 30 Julai 2023. Untuk makluman, penilaian dilakukan bermula pukul 11 pagi sehingga 1 petang.

Para juri diberi tugas untuk memilih 10 kenderaan terbaik dan salah sebuah daripadanya akan diangkat sebagai juara untuk mewakili Malaysia di Global Semi-Final yang diadakan secara virtual pada November depan.

Sang juara bakal berentap bersama pemenang-pemenang daripada wilayah Asia Pasifik lain untuk dinobatkan sebagai Regional Fan Favourite sekali gus merealisasikan impian melihat kereta binaan sendiri menjadi rekaan ikonik.

Untuk rekod, acara berkenaan diadili oleh Matt Gabe bersama-sama juri jemputan, Alec Pender dan Dino Dalle Carbonare, iaitu penyumbang laman blog Speedhunters serta pengasas Galeri Kereta, Aulia Rahman serta Raja Drift, Tengku Djan.

Tahun ini, Hot Wheels menyediakan tiga ruangan pameran di Art of Speed yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 29 dan 30 Julai.

Dewan A akan menjadi ruang utama pameran kolaborasi Hot Wheels x Proton dan stesen buat pengumpul koleksi Hot Wheels untuk membuat pembelian. Dewan B pula menempatkan ruang Konvensyen Koleksi Hot Wheels yang pertama di Asia Tenggara, di sini peminat berpeluang bertemu mesra dengan pereka Hot Wheels.

Acara lain termasuklah bidaan secara langsung, pertandingan reka bina kereta mainan, perlawanan Hot Wheels, pameran serta aktiviti dianjurkan oleh Hot Wheels Skate School.

Sementara, bahagian parkir luar VIP pula adalah lokasi bagi Hot Wheels Legends Tour.

Selain itu, orang ramai juga boleh melihat produk Hot Wheels Legends Tour edisi terhad selain boleh mereka khas pakaian, bag jinjing, botol air, cawan dan koleksi terhad kereta Legends Tour.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Art of Speed sila layari www.artofspeed.com atau www.facebook.com/ArtOFSpeedMY/

Google ads
Back to top button