Buletin

VOLKSWAGEN GOLF R-LINE CKD 2022.150PS, 8AT AISIN, BERMULA RM170K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) berbesar hati untuk mengumumkan pengenalan Golf R-Line serba baharu dan digital sepenuhnya. Model serba baharu itu mengekalkan reka bentuk Golf yang tidak ditelan zaman. 

Namun, ia kini lebih sporty dan ekspresif, terima kasih kepada gayaan R-Line. Direka dengan tumpuan kepada kecekapan aerodinamik, bampar hadapan berbentuk C itu lebih rendah untuk prestasi yang lebih responsif.

Penampilan sporty itu disempurnakan lagi dengan rim aloi Valencia bersaiz 17” dan sepasang paip ekzos krom hiasan berbentuk trapezoid.

Reka bentuk dan ciri pada Golf serba baharu ini dicipta untuk memberi keterujaan. Manakala prestasi adalah lebih daripada yang disangkakan. Di bawah hud Golf R-line terletak enjin turbo 1.4TSI berkuasa 150PS dan tork 250Nm yang dipadankan dengan transmisi lapan kelajuan shift by wire.

Sebagai generasi Golf paling progresif, aspek digital Golf R-Line ditingkatkan untuk lebih kemudahan dan ketersambungan yang lancar. Operasi intuitif kereta ini disokong oleh sistem kawalan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng.

Ia memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “Saya sejuk” dan akan menaikkan suhu pendingin hawa. Pengecaman dan kualiti suara untuk panggilan telefon adalah jelas kerana ia mampu mengesan individu yang bercakap (pemandu atau penumpang), seterusnya memberi respons sewajarnya, seperti mengenal pasti zon pendingin hawa mana yang perlu diubah suai.

“Kami berbangga kerana mampu memasang Golf yang ikonik ini di Malaysia. Ia menjadi peluang terbaik untuk memiliki sebuah Golf yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, di samping teknologi dan ciri terkini dalam generasi terbaharu ini.

“Golf R-Line serba baharu dan digital sepenuhnya ini merupakan satu inspirasi. Ia adalah hatchback yang anda ingin dilihat memandunya,” kata Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter.

Pandangan yang optimum ditawarkan menerusi lampu utama dan belakang LED sepenuhnya. Terdapat juga jalur LED nipis pada bahagian hadapan yang menyerlahkan lagi penampilannya.

Bagi menyempurnakan lagi rekaan luaran yang sporty, Golf R-Line hadir bersama tempat duduk hadapan sport yang dibalut fabrik Sardegna dan kusyen sisi Art Velours untuk memberikan keselesaan maksimum. Tidak ketinggalan, sulaman logo R-Line pada perehat kepala.

Rasai pengalaman visual ketika setiap kali memandu kerana lampu ambien 30 warna boleh disambungkan dengan mode pemanduan. Anda juga boleh menukar warna lampu berkenaan mengikut mood dan kegemaran. Terdapat lima mode warna yang telah ditetapkan (Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, Vitality) serta tetapan individual yang boleh dipilih.

Ruang dalaman yang selesa dan menyenangkan ditingkatkan lagi melalui sistem pendingin hawa 3 zone Climatronic. Laraskan suhu dengan sentuhan atau melalui arahan suara. Ada dua mode utama untuk pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate dengan setiap satunya dilengkapi pelbagai fungsi berguna. 

Pendingin hawa 3 zone Climatronic dilengkapi ciri Air Care untuk menapis spora, debunga dan partikel bagi memastikan udara kekal bersih.

Ruang kekal menjadi keutamaan pada hatchback ikonik ini. Ia menawarkan ruang yang luas buat seisi keluarga, kawasan kargo seluas 381 liter boleh memuatkan peralatan sukan dan rekreasi bersaiz besar.

Satu lagi ciri pintar yang ada pada kenderaan ini ialah akses pantas dengan bukaan pintu secara automatik apabila kunci dapat dikesan dalam zon tertentu.

Golf R-Line serba baharu dibina untuk keselamatan kerana kerangkanya dihasil menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi yang dijurutera secara ekstensif bagi menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang jika berlaku kemalangan.

Ciri-ciri utama lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kali kedua; Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan understeer, enam beg untuk perlindungan pasca pelanggaran serta banyak lagi.

Golf R-Line didatangkan dalam lima warna termasuklah dua warna baharu – kelabu (Moonstone Grey) dan merah metalik (metallic Kings Red). Warna lain termasuklah biru metalik (Atlantic Blue), serta hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) mutiara.

Golf R-Line serba baharu ditawarkan dari harga RM169,990 dan hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, serta jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun. 

Tempahan dan pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.volkswagen.com.my 

GALERI

Google ads
Back to top button