Pandu Uji

VW GOLF GTi MK8: KERETA SPORT PRAKTIKAL. HARGA TAK MASUK AKAL

Katakanlah anda ada duit yang banyak hari ini dan anda sedang mencari sebuah kereta sport yang paling berbaloi bagi menggantikan kereta sedan atau kompak harian anda, apakah kriteria kereta sport moden yang anda cari?

Adakah kuasa enjin yang tinggi? Harga berpatutan? Senang dipandu walaupun anda pemandu amatur seperti penulis? Sesuai dipandu dan digunakan setiap hari? Boleh ke bawa penumpang lain? Ruang kargo besar atau tak? Jika ini semua kriteria kereta sport anda, Golf GTi adalah jawapannya.

Volkswagen Golf GTi Mark 8 ditawarkan pada harga RM 212,711 sahaja tidak termasuk insuran, dikuasakan dengan enjin 2000cc 4 silinder turbo EA888 yang menjana sekitar 242 kuasa kuda dengan 370Nm tork. Golf GTi Mk 8 lebih kuat 15 kuasa dan 20Nm tork dari model 7.5 yang lam . Semua kuasa enjin dihantar ke tayar depan menerusi transmisi DSG 7 kelajuan dengan klac basah.

Ia boleh memecut dari 0-100km/j dalam masa 6.3 saat sebelum halaju maksimanya dihadkan kepada 250km/jam. Ruang kargo pula sebesar 374 liter, cukup untuk anda sekeluarga berjalan-jalan dengan syarat isteri anda tidak membawa 30 helai tudung untuk disamakan dengan warna lampu LED dalam kabin Golf GTi

Dengan jarak antara roda mencecah 2627mm, ia menawarkan 4 pintu bagi 5 penumpang keluar masuk dengan senang. Ya kereta sport dengan 4 pintu, bukan seperti CR-Z yang pernah dipandu oleh penulis dengan 2 pintu serta kerusi belakang untuk penumpang yang tiada kaki dan tangan.

Dan semua ini hanya RM 212,711 sahaja. Sebagai perbandingan Toyota GT86 model lama dijual pada harga RM 258,000 dengan enjin 2000cc NA yang menawarkan 197 kuasa kuda. Mazda MX-5 RF dijual pada harga RM 259,000 dengan enjin NA 2000cc menghasilkan 185 kuasa kuda.

Mungkin anda berminat dengan BMW Gran Coupe 2 Series pada harga RM 207,000 tapi menawarkan 138 kuasa kuda sahaja. Hanya Toyota GT68 dan Mazda MX-5 sahaja yang menawarkan pacuan roda belakang, ciri yang sangat penting bagi pemandu sejati.

Tapi bagi pemandu yang amatur seperti penulis, pacuan roda depan seperti yang ditawarkan oleh Golf GTi sudah memadai kerana sebarang kesilapan kecil ketika mengambil selekoh hanya menghasilkan understeer, bukan oversteer. Lepaskan sahaja pedal minyak, masalah oversteer ketika selekoh akan selesai

Jika anda mengalami oversteer ketika mengambil selekoh dengan kereta pacuan roda belakang, kalau anda pandai anda boleh buat drift atau aksi menggelongsor dengan kemas. Kalau tak pandai seperti kebanyakan pemandu, ia akan berakhir di longkang atau semak.

Jadi Golf GTi dengan pacuan roda depan lebih memaafkan bagi pemandu amatur. Sebagai bonus, disebabkan kereta ini pacuan depan, anda dapat ruang kabin yang besar dan ruang kargo yang luas walaupun ia menggunakan suspensi MultiLink di bahagian belakang.

Cuma dari segi rekaan luar, Golf GTi ini nampak kurang garang berbanding dengan model 7.5 yang dulu. Ia nampak lebih baik dan sopan. Anda mungkin menganggap ia sekadar Golf TSi jika anda tidak perasan tulisan dan emblem GTi pada bahagian depan, kiri, kanan dan belakang kereta. Angkup brek juga diwarnakan dengan merah serta ditutup dengan rim 18 inci “Richmond”

Tapi perbezaan yang paling nyata ialah jeriji bampar depan bahagian bawah dengan model lama 7.5 datang dengan rekaan yang agak agresif, model baru pula agak kosong. Apatah lagi varian untuk pasaran Malaysia tiada lampu kebus depan rekaan honeycomb.

Kalau ada lampu kabus nampak lagi menarik tapi dengan harga yang jauh lebih murah dari model 7.5, ketiadaan lampu kabus ini boleh dimaafkan. Ia digantikan dengan rekaan dalam Golf GTi lebih moden berbanding dengan rekaan lama terutama dari segi rekaan kawalan papan pemuka.

Paparan meter hadapan digantikan dengan unit paparan meter digital dengan ciri menukar rekaan meter, stering balutan kulit yang sedap digenggam, unit kawalan audio dan penyaman udara dengan skrin sebesar 10 inci, penyaman udara 3 zon, sistem audio yang boleh menyokong sambungan 2 telefon serentak Android Auto atau Apple Car Play tanpa wayar dan pengecas tanpa wayar

Cuma penulis kurang berkenan dengan rekaan tombol gear yang sebesar ibu jari, nampak kurang jantan berbanding tombol gear Arteon. Walaupun diberikan penukar gear di belakang stering, tapi perasaan menggenggam tombol gear terasa lebih puas. Tapi rekaan ini menjadikan ruang dalaman Golf GTi nampak moden dan lapang

Kusyen ala bucket juga direka dengan selesa, menggunakan kemasan kulit yang menggabungkan warna kelabu, hitam, sedikit warna merah dan jahitan merah. Jadi bila berada dalam kereta anda akan rasa santai dan mewah.

Hanya selepas enjin dihidupkan dan diperah baru anda sedar yang bunyi ekzos berkembar di belakang bukan biasa-biasa. Enjin EA888 2000cc ini jika dibandingkan dengan varian yang dipasang pada Arteon sebenarnya kurang 40 kuasa kuda pada 242 kuasa kuda. Tapi disebabkan Golf GTi lebih ringan, pecutan yang dibuat rasa lebih bertenaga

Jika Arteon rasa serius bila dipandu, Golf GTi rasa lebih seronok mungkin disebabkan saiz Golf yang lebih kecil. Satu aspek pengendalian yang disukai oleh penulis ialah stering yang direka dengan ratio yang pendek. Satu pusingan penuh tayar hanya memerlukan satu pusingan stering sahaja.

Brek cakera depan dan belakang juga menghasilkan kuasa pemberhentian yang cukup mengujakan. Anda boleh membrek dari halaju 140km/jam ke 90km/jam dalam masa 1 saat, cukup pantas untuk menyelamatkan anda dari kerlipan kamera AES. Anda boleh mengawal tetapan cesi samaada Sport, Comfort ataupun Individual.

Mode ini membolehkan anda melaras respon penukaran gear, tindakbalas stering, kekerasan penyerap hentak dan menukar respon enjin agar lebih pantas. Gandingan cesi yang tegap, brek yang jitu dan pecutan yang tangkas menjadikan Golf GTi ini lebih lincah di lebuh raya ataupun jalan persekutuan.

Keadaan ini menjadikan anda seakan ketagih untuk terus menekan pedal walaupun keinsafan itu datang sekejap di depan kamera. Lebih-lebih lagi Golf GTi menunjukkan kepandaiannya ketika mengambil selekoh pada halaju tinggi.

Berbeza dengan kereta pacuan depan yang lain, masalah understeer adalah masalah fizik yang akan sentiasa berlaku pada kereta pacuan depan. Tayar depan berfungsi untuk memacu kereta ke depan dan mengambil selekoh. Meminta kereta pacuan depan di selekoh untuk memecut lagi akan menyebabkannnya hilang cengkaman

Akibatnya kereta akan menjadi understeer dan bukaan selekoh akan menjadi lebih besar. Isu ini tidak berlaku pada Golf GTi kerana roda depan dipasang dengan front differential lock dengan kepingan klac yang akan menghantar lebih banyak kuasa pada tayar yang berada di luar selekoh dengan bantuan sistem elektronik

Anda boleh memintas kereta yang perlahan di selekoh jalan kampung pada halaju 120km/j dengan sebelah tangan menggunakan laluan di sebelah luar. Selamba sahaja Golf GTi boleh menunjukkan aksi di selekoh dan anda akan tersenyum puas dengan keupyaan Golf GTi di selekoh. Budak-budak yang ada lesen P sahaja yang inzal bila memotong di jalan lurus ni.

Satu lagi aspek yang boleh dipuji ialah Golf GTi direka supaya kusyen belakang boleh dilipat, membesarkan ruang kargo kepada 1237 liter. Biasanya kereta sport jarang memiliki ciri ini kerana terdapat pendakap besi yang dipasang diantara kusyen belakang dan ruang kargo bagi menjadikan cesi tegar. Tapi Golf GTi tak perlukan pendakap ini dan ia menjadikan Golf lebih fleksibel

Selain itu Golf GTi juga dilengkapi dengan 3 poin ISOFIX dengan satu poin berada di kusyen depan. Malah ia diberikan ciri mematikan beg udara kecemasan daripada diaktifkan jika kerusi bayi dipasang di bahagian depan.

Kombo keselamatan terdiri daripada 6 beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, sistem peringatan rehat untuk pemandu dan sistem brek keselamatan yang diaktifkan selepas kemalangan. Malangnya Golf tidak dipasang dengan ciri Sensing, maka ia tidak menyediakan brek pra perlanggaran, amaran pra perlanggaran, pemanduan adaptif dan juga lampu tinggi automatik

Anda boleh pilih untuk memeriksa tekanan boost enjin, kuasa enjin dan juga tekanan G pada kereta

Penulis juga mendapati Golf terasa penyerap hentakan yang digunakan lebih keras berbanding dengan Arteon sehingga mengganggu sedikit keselesaan. Mungkin juga disebabkan faktor umur penulis yang mencecah 30an. Mungkin juga Arteon dilengkapi dengan tayar Pirelli PZero yang senyap berbanding Golf yang menggunakan Bridgestone Potenza.

Kadar kebisingan yang masuk dalam kabin juga berada pada julat antara 68-71 dB berbanding Arteon pada 65 dB dan lebih senyap. Anda juga perlukan sedikit masa untuk membiasakan diri dengan unit kawalan audio dan penyaman udara pada Golf GTi kerana hampir semua suis menggunakan kawalan digital dan “ditanam” dalam skrin

Jika Arteon adalah sebuah Gran Turismo yang selesa, Golf GTi adalah lagenda kereta sport pacuan depan yang lebih lincah dan tangkas. Walaupun menggunakan pacuan roda depan, sistem front differential lock akan memastikan anda nampak lebih Professional jika dibandingakan dengan Nikita Mazepin memandu jentera F1

Golf GTi adalah sebuah kereta sport lebih mudah memaafkan anda jika anda cuai di selekoh, lebih praktikal dengan 4 pintu, lebih fleksibel dengan kusyen belakang boleh dilipat dan menjadikannya lebih sesuai untuk dipandu setiap hari. Gabungan enjin 242 kuasa kuda dan transmisi DSG 7 kelajuan sudah cukup untuk anda berseronok

Volkswagen pula memberikan lagi tawaran istimewa untuk anda iaitu 3 tahun servis pecuma, 5 tahun jaminan dan 5 tahun bantuan tepi jalan (Road Assist) dalam keadaan kecemasan. Anda hanya perlu bawa sahaja Golf GTi ini ke pusat servis bagi menjalani penyelenggaraan berkala

Volkswagen Golf GTi menjadikan pemandu amatur seperti pemandu professional, dan mengangkat pemandu professional seperti pemandu kereta lumba dengan semua magik yang ada padanya. Ia bagaikan memberi peluang kepada orang dewasa menjadi seronok dan teruja, ibarat kanak-kanak masuk ke kilang aiskrim coklat

Das ist ein toller sportwagen, sebut betul-betul. Kerana ia membawa maksud, ini sebuah kereta sport yang bagus

Google ads
Back to top button