Artikel Pilihan

5 CARA ALTERNATIF BAGI MENDAPATKAN KERETA BARU DENGAN PANTAS

Beberapa hari lepas kecoh di laman sosial berkenaan status seorang pembeli yang menyatakan dia berjaya membeli dan mendapatkan MPV terbaru yang dilancarkan kerana bersaudara dengan pengurus sebuah pusat jualan.

Kenyataan sebegini sebenarnya mengundang marah pada pembeli yang jujur dan menunggu giliran, apatah lagi kepada perunding jualan yang terpaksa menjawab dengan pembeli yang marah. Ya pening nak jawab bila ada orang potong barisan sebab dia kenal seseorang di pusat jualan.

Berdasarkan pengalaman penulis yang memang membeli kereta tiap-tiap tahun, kami bocorkan tip kepada anda bagaimana anda boleh mendapatkan kereta idaman anda dengan pantas dan jujur tanpa perlu memotong “que” pelanggan yang lain

1. Buat tempahan awal – yang sebaik sahaja kami buat video dan artikel berkenaan model baru yang akan dilancarkan lagi dalam masa beberapa bulan, anda boleh la membuat risikan dengan perunding jualan yang anda selesa. Kadangkala mereka banyak mengetahui maklumat berbanding dengan kami.

Mereka ada beberapa teknik yang bagus bagi memastikan nama anda berada di atas sekali bagi senarai menunggu kereta baru. Sebagai contoh ada pembeli yang telah menempah Alza 2022 pada bulan Mac atau April lagi tanpa melihat dengan mata bagaiamanakah rupa kereta baru mereka.

Kiranya proses sebegini agak “gamble” kerana rekaan yang keluar mungkin tidak kena dengan selera anda. Tapi kalau anda rasa rekaan tersebut memang cantik, sewaktu pelancaran model baru anda sudahpun menandatangani surat perjanjian dengan institusi kewangan dan mungkin menerima model tersebut dengan segera

2. Jangan pilih warna – ya kadangkala kita memang tidak suka dengan warna tertentu dalam kereta yang kita miliki. Masalahnya ialah 34,567 pembeli lain pun tidak suka dengan warna tersebut. Jika anda perlukan kereta dengan segera, beritahu perunding jualan anda yang anda “open colour”.

Ini bermaksud anda sedia menerima apa jua warna yang bakal masuk ke pusat jualan berdasarkan first come first serve basis. Mungkin anda minat warna hijau kakak tua, tapi yang masuk muka warna biru cair pencuci tandas. Ahh pedulikan, sauk saja sebab anda perlukan sebuah kereta untuk kegunaan seharian bukannya masuk pertandingan ratu cantik

3. Pilih varian termurah – setiap kali model baru dilancarkan, ia akan ditawarkan dalam beberapa varian yang termurah dan kurang menarik perhatian. Disebabkan ini, permintaan pada varian termurah ini adalah jauh lebih sedikit.

Jadi anda tidak perlu berebut dengan pelanggan lain yang menunggu varian termahal dan bonusnya ialah anda boleh membayar ansuran yang lebih murah serta kalau ada kemampuan kewangan boleh la tambah aksesori sendiri.

4. Tukar model kereta lain – bagi sesetengah jenama kereta yang popular, waktu menunggu boleh mencecah antara 6 sehingga 12 bulan. Jika anda perlukan kenderaan untuk menjalankan perniagaan, maka ia akan menyebabkan anda patah kaki dan hilang mata pencarian.

Jalan yang terbaik ialah anda tukar kepada jenama yang kurang popular sebelum ini dan suam-suam kuku. Hasil temubual penulis dengan seorang pemandu Grab mendapati beliau hanya mengambil masa 2 bulan sahaja bagi mendapatkan kereta baru Proton. Cara lain ialah anda boleh tukar model dari Myvi AV (sangat popular) kepada Ativa X (kurang popular).

5. Intai unit terpakai yang masih baru – kadangkala ada pemilik kereta yang baru membeli kereta, namun atas sebab bertukar tempat kerja atau berhijrah mereka akan menjual kereta mereka di dalam laman sosial. Harga yang ditawarkan mungkin sama dengan harga baru, tapi anda tidak perlu menunggu lama

Jangan terkejut kerana ada model tahun 2021 dan 2022 dijual di sini. Namun kelemahan teknik ini ialah unit yang dibeli adalah unit terpakai dan kadar keuntungan bank atau institusi pembiayaan mungkin lebih sedikit berbanding dengan unit baru. Seperti biasa bawa pomen yang boleh memeriksa keadaan kereta terlebih dahulu, upah RM 100 pun tak apa

6. Mohon kerja di kilang kereta dan pasang kereta anda sendiri. Lepas siap pasang boleh hantar surat berhenti.

Dalam menjadi negara maju, benda pertama yang perlu diubah ialah menjadi jujur dengan diri sendiri kerana kejujuran adalah sangat bernilai. Tak usah sembang pasal pemimpin ambil rasuah kalau anda beli kereta pun anda pakai kabel.

Google ads
Back to top button