
VOLKSWAGEN GOLF GTI MK8 2022. CKD PEKAN, 245PS/370NM, BERMULA RM212K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Golf GTI serba baharu di Litar Antarabangsa Sepang.
Dikenali sebagai raja hatchback, GTI menawarkan keseronokan pemanduan sporty sejak ia mula dilancarkan dalam acara Frankfurt Motor Show pada tahun 1975. Jentera ini terus mendefinisikan bagaimana sebuah kenderaan sports kompak patut dihasilkan.
Kini, GTI serba baharu menawarkan prestasi lebih berkuasa yang membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru dengan menjadikannya kereta sports harian yang sebenar.
Dipasang di Pekan, ini merupakan satu pencapaian bersejarah kerana pertama kali Golf GTI dihasilkan di luar Jerman dan China.

Reka Bentuk
Golf GTI dapat dikenali secara serta-merta menerusi gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan merah GTI yang telah menjadi signaturnya.
Ia dipasang dengan rim aloi Richmond bersaiz 18 inci bersama angkup brek berwarna merah, selain lampu utama dan lampu belakang LED sepenuhnya.

Driver’s Workspace
Driver’s Workspace ialah landskap dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan ketersambungan lancar.
Ia hadir dengan Digital Cockpit generasi baharu 10.25” bersama pelbagai pandangan serta warna tema. Ini termasuklah gayaan spesifik GTI, stereng multi fungsi dengan kawalan sentuh haptik dan ciri pemanas.
Sistem infohibur Discover Media 10 inci pula menawarkan navigasi binaan dalam 3D, CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.
Kawalan intuitif operasi kenderaan ini disokong oleh sistem arahan suara pintar yang boleh diaktifkan dengan mudah melalui “Hello Volkswagen” atau menekan butan suara pada stereng. Ia akan memberi maklum balas kepada arahan suara seperti “I’m cold” dengan menaikkan suhu.
Kualiti pengecaman dan suara untuk panggilan telefon juga lancar kerana ia boleh mengesan individu yang bercakap sama ada pemandu atau penumpang hadapan serta memberi maklum balas sewajarnya. Sebagai contoh, mengenal pasti zon suhu yang perlu diubah.

Enjin turbo 2.0TSI
Ia dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan transmisi klac basah DSG 7-kelajuan berkuasa 245PS dan tork 370Nm. Biarpun begitu, penggunaan bahan api adalah sekitar 7l/100km.
Keunikan GTI ialah sistem Vehicle Dynamics Manager yang membolehkan personalisasi pemanduan dibuat, selain pilihan pelbagai mode yang telah ditetapkan dan tetapan individu.
Ruang dalaman GTI nyata progresif, inovatif dan intuitif. Tempat duduk hadapan hadir dengan kemasan berwarna merah dan ciri suhu aktif untuk disesuaikan dengan cuaca panas atau sejuk.
Tempat duduk pemandu didatangkan dengan ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik. Ia dibalut oleh kulit Vienna untuk memberi lebih keselesaan.

Keselesaan dan Kemudahan
Nikmati visual menarik setiap kali memandu dengan lampu ambien yang boleh disambungkan kepada mode pemanduan.
Terdapat 30 warna lampu ambien untuk dipilih selain daripada lima mode warna yang telah ditetapkan iaitu (Infinity, Eternity, Desire, Euphoria, Vitality) serta tetapan individu.
Suasana ruang kabin yang selesa dan menenangkan itu dipertingkatkan lagi dengan sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon. Ubah suai suhu dengan menyentuh gelangsar atau hanya menerusi arahan suara.
Terdapat dua mode utama untuk sistem pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate yang setiap satunya hadir dengan pelbagai fungsi berguna. Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon itu turut dilengkapi ciri Air Care untuk menapis debunga, spora dan partikel bawaan angin demi memastikan udara sentiasa bersih.

Ruang dan Kemudahan
Ruang terus menjadi keutamaan buat hatchback ikonik ini apabila ia menawarkan ruang yang luas buat seisi keluarga. Kargo seluas 374 liter itu boleh memuatkan peralatan sukan dan riadah yang besar.
Satu lagi ciri pintar kenderaan ini ialah akses pantas dengan pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci berada dalam zon pengesanan tertentu. GTI juga didatangkan dengan ciri Tyre Pressure Loss Indicator yang memberi amaran jika tekanan tayar semakin rendah.

Keselamatan
Golf serba baharu dibina agar selamat dengan kerangkanya dibina menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi yang dijurutera secara ekstensif untuk menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang jika berlaku kemalangan.
Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer, enam beg udara untuk perlindungan pasca pelanggaran serta banyak lagi.

Warna
GTI didatangkan dalam lima warna iaitu warna merah (Kings Red) dan biru (Atlantic Blue) dalam kemasan metalik, pilihan warna kelabu (Moonstone Grey) bukan metalik, di samping warna hitam (Deep Black) dan putih mutiara (Oryx White) tanpa sebarang caj tambahan.

Harga
Golf R-Line ditawarkan pada harga cadangan RM211,711 dengan pengecualian cukai jualan. Ia juga hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
VPCM menyokong aspek selepas jualan dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, selain jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.
Tempahan dan sesi pandu uji boleh dibuat di semua pengedar sah Volkswagen di seluruh negara. Anda juga boleh mengakses Volkswagen eShowroom di https://eshowroom.volkswagen.com.my/
- BACA: #IKLANPILIHAN: PROTON SATRIA GTi R3 ORIGINAL!!!
- BACA: VW GOLF GTI CLUBSPORT 2021. 296HP, MODE PEMANDUAN LITAR NURBURGRING, TOP SPEED 250KM/J
- BACA: VOLKSWAGEN GOLF GTI GENERASI PERTAMA – INILAH DIA HOT HACH LAGENDA
- BACA: VPCM PREBIU GOLF R-LINE DAN GTI MK8 CKD DI MALAYSIA. GUNA TRANSMISI 8AT AISIN?
GALERI














