
VOLKSWAGEN TAYRON 2026 DILANCARKAN – HADIR DUA VARIAN, JANA 150PS, HARGA MULA RM190K
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Volkswagen Tayron serba baharu, sebuah SUV premium tujuh tempat duduk yang dipasang secara tempatan (CKD).
Model ini mengisi ruang di antara Tiguan dan Touareg dalam barisan SUV Volkswagen, selain ditawarkan dalam dua varian iaitu Elegance dan R-Line yang disasarkan kepada kelompok pelanggan berbeza.
Varian Elegance memberi penekanan kepada keselesaan, teknologi moden dan kecekapan bahan api, manakala R-Line pula tampil dengan karakter lebih sporty serta prestasi lebih bertenaga.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, 69 pelanggan pertama Tayron akan menerima pakej istimewa yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama tujuh tahun, perlindungan kemalangan diri serta kunci kereta, selain berpeluang memenangi percutian mewah selama tiga hari dua malam.

Dari segi reka bentuk, Tayron menampilkan identiti SUV moden Volkswagen dengan bonet hadapan yang lebih tinggi, garis badan yang kemas serta siluet memanjang bagi menyerlahkan imej premium. Bahagian belakang pula dilengkapi rekaan lampu baharu yang memberikan penampilan lebih elegan.
Varian Elegance menggunakan lampu hadapan LED Plus bersama lampu belakang 3D LED dan kemasan luaran khas Elegance.
Bagi R-Line, ia menerima lampu hadapan IQ.LIGHT HD Matrix dengan fungsi lampu tinggi bebas silau, lampu belakang 3D LED bersama lampu isyarat dinamik serta kit badan R-Line yang lebih agresif. Kedua-dua varian turut menampilkan logo Volkswagen bercahaya di hadapan dan belakang.
Tayron ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu;
- Nightshade Blue
- Oyster Silver
- Dolphin Grey
- Oryx White
- Grenadilla Black
Di ruang kabin, SUV ini menyediakan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan ruang simpanan sehingga 1,905 liter apabila tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat.

Tempat duduk baris kedua boleh dibahagikan dalam nisbah 40:20:40, manakala baris ketiga menggunakan konfigurasi 50:50 bagi memudahkan susun atur penumpang dan barangan.
Tempat duduk hadapan menggunakan kemasan Varenna Leather ergoActive Plus yang menawarkan pelarasan elektrik 12 hala, fungsi pemanas, pengudaraan serta urutan pneumatik menggunakan 10 kusyen udara.
Sistem audio turut berbeza mengikut varian. Elegance menggunakan lapan pembesar suara, manakala R-Line dilengkapi sistem audio Harman Kardon dengan 10+1 pembesar suara, subwufer khusus, penguat digital 16 saluran serta kuasa output 700 watt.
Volkswagen turut melengkapkan Tayron dengan sistem infotainmen generasi baharu. Varian Elegance menerima skrin sentuh Discover bersaiz 12.9-inci, manakala R-Line menggunakan Discover Pro Max bersaiz 15-inci. Kedua-duanya menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar menerusi perisian MIB4.
Turut disediakan ialah Digital Cockpit Pro bersaiz 10.25-inci, pembantu suara IDA, stereng pelbagai fungsi bersama paddle shifter serta pemilih gear pada ruang stereng yang menjadikan konsol tengah lebih lapang. R-Line turut dilengkapi paparan head-up display.

Spesifikasi utama Volkswagen Tayron
Volkswagen Tayron Elegance
- Enjin 1.5 liter eTSI mild hybrid
- Kuasa 150PS
- Tork 250Nm
- Sistem elektrik 48 volt
- Active Cylinder Management (ACTplus)
- Transmisi DSG tujuh kelajuan
- Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro)
Volkswagen Tayron R-Line
- Enjin 2.0 liter TSI turbo
- Kuasa 265PS
- Tork 400Nm
- Sistem pacuan semua roda 4MOTION
- Transmisi DSG tujuh kelajuan
- Dynamic Chassis Control Pro (DCC Pro)
Dari aspek keselamatan, Tayron menerima penarafan lima bintang Euro NCAP dengan skor 87 peratus bagi perlindungan penumpang dewasa, 85 peratus perlindungan kanak-kanak, 83 peratus perlindungan pengguna jalan raya dan 80 peratus untuk sistem bantuan keselamatan.

Antara ciri keselamatan yang ditawarkan termasuk Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Lane Assist, Side Assist, Rear Traffic Alert, Front Assist dengan pengesanan pejalan kaki dan penunggang basikal, Park Assist Plus, Emergency Assist, Proactive Passenger Protection System, Driver Attention Monitor serta sembilan beg udara termasuk beg udara tengah hadapan.
Volkswagen turut menawarkan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang merangkumi penyelenggaraan percuma selama lima tahun, waranti pengeluar lima tahun serta bantuan tepi jalan selama lima tahun bagi Tayron Elegance.
Varian Tayron Elegance ditawarkan pada harga RM190,660 (atas jalan tanpa insurans, tidak termasuk Volkswagen Assurance Package atau VAP). Dengan tambahan VAP bernilai RM10,100, harga atas jalan tanpa insurans meningkat kepada RM200,760.
Sementara itu, Tayron R-Line kini dipamerkan untuk pratonton dengan anggaran harga antara RM259,000 hingga RM269,000.
GALERI:
Volkswagen Tayron Elegance









Volkswagen Tayron R-Line









