
GWM KEMAS KINI ORA BALLET CAT, KUASA DITINGKATKAN – MUNGKIN GUNA NAMA BAHARU ORA 6
GWM dilaporkan bakal memperkenalkan versi dikemas kini bagi hatchback elektrik Ora Ballet Cat, model yang sering menjadi perhatian kerana reka bentuknya menyerupai Volkswagen Beetle klasik.
Maklumat terbaru yang difailkan kepada pengawal selia China menunjukkan model itu bakal menerima peningkatan prestasi selain berkemungkinan menggunakan nama baharu, Ora 6.
Ora Ballet Cat mula diperkenalkan di pasaran China pada 2022 dengan harga antara 193,000 hingga 223,000 yuan (sekitar RM114,000 hingga RM132,000).
Model ini tampil dengan gaya retro yang jelas diinspirasikan daripada Volkswagen Beetle menerusi bentuk badan membulat, bonet pendek, gerbang roda yang menonjol, cermin hadapan hampir tegak serta garis bumbung melengkung.

Ketika dilancarkan, GWM memasarkan Ballet Cat sebagai model yang menyasarkan pembeli wanita. Ia didatangkan dengan beberapa fungsi unik seperti Lady Driving Mode, yang menjarakkan kenderaan secara automatik daripada kenderaan di hadapan untuk pemanduan lebih selesa.
Selain itu, terdapat kamera swafoto terbina dalam dan Warm Man Mode, yang mengaktifkan sistem pemanas serta pendingin hawa hanya dengan satu sentuhan bagi meningkatkan keselesaan pengguna.
Dari segi prestasi, Ora Ballet Cat versi baharu menerima peningkatan kuasa yang ketara. Ia menggunakan motor elektrik QT36TZ220001 yang menghasilkan 150kW (201hp), berbanding 126kW (169hp) pada model terdahulu.
Ini bermakna kuasanya meningkat sebanyak 31kW atau 40hp, sekali gus memberikan prestasi pemanduan yang lebih baik. Kelajuan maksimum turut dipertingkatkan daripada 155 km/j kepada 180 km/j.
Bekalan tenaga pula datang daripada pek bateri litium besi fosfat (LFP) keluaran Svolt, anak syarikat GWM, namun kapasiti bateri itu masih belum didedahkan setakat ini.
Walaupun tampil dengan konsep yang berbeza daripada kebanyakan EV lain di pasaran, sambutan terhadap Ballet Cat kurang memberangsangkan.
Data jualan menunjukkan hanya 8,523 unit berjaya dihantar kepada pelanggan sepanjang tempoh Julai 2022 hingga Jun 2026.
Namun begitu, GWM masih belum menamatkan hayat model tersebut. Sebaliknya, syarikat itu memilih untuk memperbaharuinya dengan beberapa penambahbaikan termasuk peningkatan kuasa motor elektrik.
Selain itu, dokumen yang dikemukakan kepada pihak berkuasa China turut memberi petunjuk bahawa nama Ora Ballet Cat mungkin digugurkan dan digantikan dengan Ora 6.
Langkah itu dilihat selari dengan strategi penjenamaan terbaharu GWM yang beralih daripada penggunaan nama berasaskan haiwan kepada sistem nombor.
Sebelum ini, GWM telah memperkenalkan Ora 5 untuk beberapa pasaran global termasuk Itali, manakala Ora 7 turut dijangka menyusul dalam masa terdekat.
Penjenamaan baharu ini dijangka memudahkan kedudukan setiap model dalam barisan produk Ora di peringkat antarabangsa.

