Artikel Pilihan

EV TERPAKAI AKAN ROSAK, TAPI BUKAN BATERI……

Bateri voltan tinggi sering dianggap sebagai komponen paling membimbangkan bagi mereka yang ingin memiliki kenderaan elektrik (EV) terpakai. Kos penggantiannya yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit menyebabkan ramai pembeli beranggapan bateri merupakan komponen yang paling kerap mengalami kerosakan dan komponen wajib rosak.

Namun tanggapan ini disangkal menerusi satu analisis yang dijalankan oleh penyedia jaminan kenderaan dari United Kingdom, Warrantywise yang menunjukkan realitinya agak berbeza. Berdasarkan data tuntutan pembaikan yang diterima syarikat itu, kebanyakan kerosakan yang dialami EV terpakai sebenarnya tidak melibatkan bateri voltan tinggi.

Sebaliknya kebanyakan tuntutan untuk kereta elektrik terpakai berpunca daripada komponen elektrik dan mekanikal lain yang turut digunakan pada kenderaan berenjin pembakaran dalaman. Kajian tersebut dibuat ketika pasaran EV terpakai di United Kingdom terus berkembang pesat.

Sepanjang tahun 2025, jualan EV terpakai di UK dilaporkan meningkat sebanyak 45.7 peratus kepada 274,815 unit, sekali gus memberikan Warrantywise pangkalan data yang lebih besar untuk menganalisis corak kerosakan sebenar kenderaan elektrik.

Menurut analisis berkenaan, sistem dan komponen elektrik merupakan kategori kerosakan yang paling kerap dilaporkan, diikuti sistem suspensi, sistem brek, sistem penyaman udara serta sistem stereng. Menariknya, bateri voltan tinggi langsung tidak tersenarai dalam lima komponen yang paling banyak memerlukan pembaikan.

Walaubagaimanapun, kategori “sistem elektrik” yang dimaksudkan dalam kajian ini tidak merujuk kepada bateri voltan tinggi atau motor elektrik. Sebaliknya, ia merangkumi pelbagai komponen elektronik yang terdapat pada sesebuah kenderaan seperti sensor, mekanisme central locking, bateri tambahan 12V, modul kawalan elektronik serta sistem pengecas terbina dalam (on-board charger atau OBC).

Daripada komponen khusus EV, OBC dikenal pasti antara yang paling kerap memerlukan pembaikan kerana ia berfungsi menukarkan bekalan arus ulang-alik (AC) daripada pengecas kepada arus terus (DC) sebelum tenaga disalurkan ke bateri voltan tinggi. Oleh itu, walaupun kerosakan berkaitan sistem elektrik lebih kerap dilaporkan, ia tidak semestinya membabitkan komponen paling mahal seperti bateri voltan tinggi.

Ini tidak bermakna bateri voltan tinggi bebas daripada risiko kerosakan. Sebaliknya, Warrantywise menjelaskan bahawa apabila kerosakan berlaku, kos pembaikannya memang jauh lebih tinggi berbanding komponen lain.

Tetapi berdasarkan data tuntutan yang diterima, kes kegagalan bateri voltan tinggi adalah jauh lebih rendah berbanding masalah yang melibatkan sistem elektrik atau komponen mekanikal biasa.

Sebagai perbandingan, Warrantywise mendedahkan purata kos pembaikan bagi pengecas terbina dalam adalah sekitar RM 11,800 manakala pembaikan atau penggantian bateri voltan tinggi boleh mencecah purata RM 35,200 Walaupun kosnya hampir tiga kali ganda lebih tinggi, bilangan kes yang melibatkan bateri didapati jauh lebih rendah.

Menurut Warrantywise, persepsi bahawa setiap EV terpakai berisiko memerlukan penggantian bateri dalam tempoh singkat masih menjadi antara faktor utama yang menyebabkan ramai pengguna berasa ragu-ragu untuk beralih kepada kenderaan elektrik terpakai.

Tetapi data tuntutan pembaikan sebenar menunjukkan kebanyakan pemilik lebih berkemungkinan berdepan isu berkaitan sistem elektrik, suspensi, brek atau penyaman udara berbanding kegagalan bateri voltan tinggi.

Dapatan kajian ini secara tidak langsung memberikan gambaran bahawa kebimbangan terhadap bateri EV mungkin agak berlebihan jika dibandingkan dengan situasi sebenar di lapangan. Walaupun bateri kekal sebagai komponen paling mahal untuk dibaiki sekiranya berlaku kerosakan, data Warrantywise menunjukkan ia bukanlah komponen yang paling kerap mengalami masalah dalam kalangan EV terpakai.

Seiring pertumbuhan pasaran EV terpakai di seluruh dunia, data seperti ini dijangka dapat membantu pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan pengalaman penggunaan sebenar, bukannya hanya dipengaruhi persepsi terhadap kos penggantian bateri semata-mata.

Google ads
Back to top button