Buletin

VOLVO ES90 RASMI DILANCARKAN DI THAILAND – JARAK GERAK HINGGA 755KM, HARGA BERMULA RM385K

Volvo Car Thailand secara rasmi melancarkan Volvo ES90, model sedan serba elektrik sepenuhnya yang menetapkan penanda aras baharu dalam segmen kenderaan premium.

Menariknya, ES90 menggabungkan gaya elegan, praktikaliti fastback dan keluasan SUV, menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga moden serta profesional urban.

Dari luar, ES90 tampil tegap dan berkarisma dengan kelegaan tanah sedikit tinggi bagi pandangan pemandu lebih menyeluruh. Garisan bumbung mengalir lembut untuk meningkatkan aerodinamik dan kecekapan tenaga, manakala bahagian depan mengekalkan lampu “Thor’s Hammer” yang ikonik dengan sentuhan moden.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED berbentuk-C dan model ini ditawarkan lima warna luaran ditawarkan, termasuk pilihan baharu Aurora Silver.

Ruang simpanan juga luas, dengan but belakang berkapasiti 446 liter (904 liter apabila tempat duduk belakang 40:20:40 dilipat) serta ruang frunk 27 liter di depan untuk kabel pengecasan atau barangan kecil.

Bahagian dalamannya berteraskan reka bentuk Scandinavia yang minimalis dan mewah. Jarak antara roda 3.1 meter memberi keselesaan maksimum kepada penumpang belakang.

Ia diserlahkan lagi melalui tempat duduk dibalut kulit Nappa berlubang dengan pilihan warna Charcoal atau Dawn serta digabungkan bersama pencahayaan ambien enam tema.

Ciri menarik lain termasuk bumbung panoramik elektro-kromatik yang melindungi sehingga 99.9% sinaran UV dan boleh dilaras ketelusannya. Sistem penyaman udara empat zon dengan penapis canggih menapis 95% zarah PM2.5 serta 99.9% alergen debunga dan habuk.

Untuk hiburan, sistem audio Bowers & Wilkins 1,610 watt dengan 25 pembesar suara termasuk di perehat kepala dan siling hadir bersama Dolby Atmos® dan mod khas “Abbey Road Studios” bagi pengalaman bunyi premium.

Dari segi teknologi, ES90 menggunakan sistem infotainmen Google built-in berasaskan Snapdragon® Cockpit Platform dengan sokongan 5G. Paparan tengah 14.5-inci memudahkan kawalan fungsi utama, manakala paparan pemandu 9-inci dan head-up display menyalurkan maklumat penting dengan jelas, selain dilengkapi sistem kamera 360° dengan pandangan 3D membantu parkir di ruang sempit.

Dibina atas platform SPA2 dengan teknologi Superset, ES90 membolehkan peningkatan prestasi dan keselamatan melalui kemas kini over-the-air (OTA). Ia juga model pertama Volvo dengan dwi pemproses NVIDIA DRIVE AGX Orin, menjadikannya kenderaan Volvo paling berkuasa dari segi pengkomputeran.

ES90 turut memperkenalkan sistem 800 volt baharu yang menyokong pengecasan pantas, prestasi tinggi dan kecekapan lebih baik. Ia menawarkan jarak pemanduan sehingga 755km (NEDC), pecutan 0-100 km/j dalam 6.6 saat, serta pekali seretan udara (Cd) 0.25.

Dari segi kelestarian, 29% aluminium dan 18% keluli dikitar semula, manakala 16% polimer dan bahan bio digunakan dalam pembinaan. Panel kayu dalaman pula diperbuat daripada kayu diperakui FSC, menonjolkan komitmen Volvo terhadap alam sekitar.

Sebagai jenama sinonim dengan keselamatan, ES90 dilengkapi rangka keselamatan kukuh, sistem bantuan pemandu berasaskan lidar Luminar, lima radar, tujuh kamera dan 12 sensor ultrasonik. Sistem ini mampu mengesan bahaya di luar jangkauan mata manusia.

Tambahan lagi, sistem Driver Understanding secara aktif memantau tahap tumpuan pemandu dan memberikan amaran jika diperlukan.

Ciri Safe Space Technology turut menawarkan perlindungan semasa kenderaan diparkir, termasuk amaran pembukaan pintu bagi mengelak kemalangan dengan penunggang basikal atau pejalan kaki.

Beralih pada harga, Volvo ES90 Ultra Single Motor Extended Range boleh dimiliki pada harga bermula RM385,000, dengan penghantaran dijadual bermula akhir 2025 atau awal Januari 2026.

GALERI:

Google ads
Back to top button