
CHERY TIGGO 9 BUKTIKAN KEHEBATAN KESELAMATAN DALAM UJIAN PERLANGGARAN
Dalam usaha berterusan meningkatkan keselamatan automotif, Chery sekali lagi membuktikan komitmennya melalui penganjuran Ultimate Safety Exploration Tour, yang menyaksikan ujian pelanggaran dramatik antara dua unit SUV mewah TIGGO 9.
Ujian tersebut melibatkan perlanggaran pada sudut 15 darjah antara dua kenderaan yang masing-masing dipacu pada kelajuan 50 km/j, menghasilkan tenaga hentaman bersamaan sebuah kereta yang melanggar tembok konkrit pada kelajuan 100 km/j.
Lebih 500 tetamu dan wakil media hadir menyaksikan ujian itu secara langsung di Pusat Ujian Longshan.

Ujian small-overlap collision ini dianggap antara yang paling mencabar dalam industri automotif kerana hentaman berlaku di bahagian sisi depan yang tidak dilindungi rangka utama, sekali gus menguji keteguhan struktur serta ketahanan badan kenderaan.
Hasilnya, kedua-dua kenderaan TIGGO 9 menunjukkan prestasi cemerlang – ruang kabin kekal utuh tanpa sebarang ubah bentuk pada tiang A, B atau C, menandakan tahap keutuhan struktur yang tinggi.
Selain itu, semua beg udara termasuk beg udara lutut dan langsir sisi berfungsi dengan sempurna, manakala tali pinggang keledar turut diaktifkan secara automatik sebaik hentaman berlaku.

Sistem bahan api juga kekal selamat tanpa kebocoran, dan semua pintu boleh dibuka dengan mudah selepas perlanggaran, membolehkan penyelamat masuk dengan pantas. Lampu kecemasan turut diaktifkan secara automatik, memberi amaran kepada lalu lintas sekitar bagi mengelakkan insiden lain.
Menurut Chery, keputusan ujian ini bukan sahaja membuktikan kekuatan casis dan kecekapan sistem perlindungan penumpang, tetapi juga menegaskan integrasi menyeluruh antara keteguhan struktur, kemudahan penyelamatan pasca kemalangan dan kebolehpercayaan keselamatan secara keseluruhan.







