
GAC M8 PHEV DITAWARKAN PADA HARGA BERMULA RM328K – JARAK GERAK 1,038KM
WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), pengedar rasmi GAC di Malaysia, hari ini secara rasmi mengumumkan harga jualan bagi GAC M8 PHEV.
Model ini ditawarkan dalam dua varian; Premium berharga RM328,800, dan Luxury pada RM388,800 (harga atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia).
Sebagai tawaran pelancaran, pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Disember 2025 akan menerima penyelenggaraan percuma selama dua tahun serta kabel pengecas mudah alih, bernilai keseluruhan RM3,800 (tertakluk kepada terma dan syarat).

Dari luaran, GAC M8 PHEV tampil dengan reka bentuk gril depan bergaya “Lion-like” serta lampu utama LED “Awakening Eye” yang menyerlahkan keanggunan. Ia turut hadir dengan rim aloi 18-inci bersama penutup logo berputar automatik.
Bahagian dalamannya menawarkan balutan kulit semi-aniline, ruang kaki terbaik dalam kelasnya dengan rel tempat duduk barisan kedua dan ketiga sepanjang 480mm, serta 108 titik penebat bunyi dan sistem Engine Noise Control (ENC) bagi suasana kabin yang senyap.
Selain itu, sistem pendingin hawa Cool-Sense Technology pula memberikan hembusan sejuk tanpa angin terus, satu lagi ciri unik yang menambah keselesaan.

Dari segi keselamatan, M8 PHEV menampilkan inovasi keselamatan unik GAC — beg udara cermin belakang pertama di dunia, sebahagian daripada sistem beg udara 360°, serta dilengkapi Level 2 Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) dan Full Automatic Parking Assist (FAPA).
Beralih pada kuasa, M8 PHEV dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo yang digandingkan dengan sistem Dedicated Hybrid Transmission (DHT) 2-kelajuan dan motor elektrik, menghasilkan 372PS dan 630Nm tork.
Gabungan bateri 25.57kWh dan tangki bahan api 56 liter memberikan jarak pemanduan sehingga 1,038km dengan satu cas penuh dan satu tangki penuh.

MPV ini turut dilengkapi Adaptive Vehicle Dynamics Control System serta suspensi elektromagnetik bagi memastikan keselesaan dan kestabilan pemanduan optimum dalam pelbagai keadaan jalan.
Sistem hibridnya menawarkan tiga mod:
- Intelligent Hybrid
- All-Electricity First
- Power Preservation
Seperti dinyatakan di atas, model ini ditawarkan pada harga RM328,800 (Premium), dan Luxury pada RM388,800.
Setiap pembelian disertakan dengan jaminan kenderaan 5 tahun/150,000 km dan jaminan bateri 8 tahun/150,000 km (yang mana lebih dahulu).
GAC M8 PHEV kini boleh didapati di semua bilik pameran GAC di seluruh negara, dengan sesi pandu uji ditawarkan melalui janji temu.
MPV mewah ini juga akan dipamerkan di beberapa siri jelajah promosi, termasuk:
- Desa ParkCity Waterfront (24–26 Oktober)
- Mid Valley SouthKey Johor (5–9 November)
- Malaysia Car of the Year Showcase, 1 Utama (12–16 November)
Maklumat lanjut boleh didapati di www.gacmotor.com.my.
GALERI:
















