Motosikal

KAWASAKI KLE500 2026 DEBUT DI EROPAH – 2-SILINDER 451CC

Kawasaki dengan rasminya mengembalikan nama ikonik dari dunia motosikal adventure dengan pelancaran Kawasaki KLE500 2026. 

Memandangkan terdapat permintaan tinggi bagi segmen adventure berkapasiti bawah 500cc, Kawasaki buat keputusan untuk menghidupkan semula lencana KLE500 yang pernah menjadi nama besar pada era 90-an. 

Untuk rekod, KLE500 duduk diantara Versys-X 250 dan KLR650 dan direka untuk kemampuan off-road namun dengan kuasa yang lebih baik untuk kegunaan jalan raya berbanding KLR. Menariknya, KLE500 ini difahamkan lebih mampu milik berbanding Versys 650. 

Meskipun berkongsi nama sama dengan KLE500 keluaran 1991-2007 namun KLE500 2026 ini adalah model serba baharu. Menggerakkan model baharu ini adalah unit dua silinder (parallel-twin) 451cc yang sama terdapat pada Ninja 500, Z500 dan Eliminator 500. 

Bagaimanapun, Kawasaki belum mendedahkan kuasa dan tork ditawarakan namun model lain yang mengguna pakai enjin sama menawarkan 51hp pada 10,000rpm dan dan 42.6Nm. 

Namun begitu, KLE500 dilengkapi dengan kerangka steel trellis serba baharu yang dipadankan bersama tayar 21-inci depan dan 17-inci belakang dengan rim jenis lidi (spoke). Ini bermakna, KLE500 bakal bersaing dengan CFMOTO 450MT. 

Sementara itu, Kawasaki mendakwa bahawa kerangka diguna pakai hanyalah seberat 19kg dan menawarkan telemetri yang memfokuskan tunggangan jalan raya dan trail. Memandangkan enjin bertindak sebagai beban utama, Kawasaki berjaya mengekalkan pusat graviti yang lebih rendah. 

Suspensi pula merangkumi fork USD 43mm dari KYB dengan jarak gerak 210mm dan monoshock dibelakang dengan pelarasan pra-beban (preload). Pakej brek pula terdiri dari cakera tunggal 300mm depan dan 230mm belakang masing-masing dipadankan dengan ABS (boleh dipadamkan untuk tunggangan off-road). 

Antara perincian lain ditawarkan termasuk: 

  • tangki 15.8L
  • lampu LED penuh
  • penghadang angin boleh laras 
  • skrin TFT 4.3” *versi SE

Google ads
Back to top button