Buletin

VOLVO XC90 2020 – GUNA SISTEM JANAAN SEMULA TENAGA KINETIK (MILD HYBRID)

Volvo Cars baru-baru ini memperkenalkan SUV XC90 yang telah ditambah baik dengan pilihan enjin lebih jimat.

Ia dilihat sebagai langkah pertama dalam strategi elektrifikasi syarikat tersebut. 

Buat pertama kalinya, XC90 dilengkapi sistem janaan semula tenaga kinetik termaju Volvo.

Sistem tersebut dipadankan dengan enjin pembakaran dalaman sedia ada untuk menghasilkan rangkaian kuasa elektrik bersepadu baharu yang dikenali dengan lencana B. 

Kereta dengan lencana ‘B’ melengkapkan lagi pilihan T8 Twin Engine plug-in hybrid pada XC90. Rangkaian kuasa itu menawarkan penjimatan dan pengurangan emisi sehingga 15 peratus.  

Sistem brek-dengan-wayar pula berhubung dengan sistem janaan semula tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan api serta emisi.  

Melihat dari segi luaran, XC90 baharu menerima naik taraf yang tidak terlalu ketara. Antara yang ditukar ialah rim, warna luaran dan gril dengan rekaan lebih moden. 

Perbezaan pada ruang kabin pula terarah kepada konfigurasi tempat duduk. Varian Excellence menawarkan empat tempat duduk. Pelanggan juga boleh memilih varian dengan enam tempat duduk.

Material baharu yang digunakan termasuklah gabungan bulu biri-biri yang boleh dipilih oleh pelanggan. 

Volvo mula memperkenalkan teknologi yang inovasi terbaharu ke atas model siri 90 dan 60 di antara tahun 2005 hingga 2019. Hasilnya, SUV yang canggih itu menerima sambutan hangat dengan lebih 320,000 unit berjaya dijual di seluruh dunia. 

Gabungan ciri keselamatan pasif dan aktif pada XC90 menjadikannya antara kereta paling selamat di atas jalan raya. 

XC90 versi tahun 2020 akan mula diproduksi pada Mei depan di kilang Torslanda, Sweden dan sudah boleh ditempah di seluruh dunia. 

GALERI

Google ads
Back to top button