Buletin

ADAKAH INI SENI? BANGUNAN POLESTAR INI BERKOTAK MACAM KERETA VOLVO

Pada suatu masa dulu kenderaan Volvo begitu sinonim dengan gayaan berkotak dan bersegi. Jika disoroti sejarah, gayaan Volvo bukan berkotak atau bersegi pun, ada banyak model yang cantik dan kemas dengan reka bentuk beralun dan membujur.

Cuma biasalah, setiap pengeluar dan zaman ada trendnya yang sendiri.

Berkotak atau bersegi sebenarnya adalah lambang kepada reka bentuk Scandinavia yang ringkas. Lihat sahaja perabot IKEA, tiada pelik-pelik atau berkerawang sana sini.

Petak, kotak, lurus dan bersegi. Corak ira kayu pun sama ada melintang atau menegak.

Falsafah reka bentuk berkotak terus subur apabila ibu pejabat global Polestar yang terletak di Gothenburg, Sweden mengguna konsep ini.

Ibu pejabat baharu yang terletak dalam kampus (kawasan) Volvo Car Group menempatkan pelbagai jabatan silang untuk memudahkan kerjasama termasuk dengan syarikat induknya, Volvo.

Ibu pejabat ini yang didominasi oleh Polestar Cube bukan dibuat dengan mudah, ia direka oleh firma senibina Sweden iaitu  Bornstein Lyckefors dengan kerjasama Polestar sendiri.

Dinding kaca berwarna putih pada bahagian Polestar Cube ini tampil menarik dengan logo Polestar yang bercahaya dan juga simbolik kepada ‘bintang peneraju’ iaitu peranan Polestar dalam bidang reka bentuk dan teknologi di dalam Volvo Car Group.

Walaupun berkotak, falsafah yang dibawa bangunan ini ialah minimalis dan avant-garde dan merupakan ciri-ciri dalam kenderaan Polestar serta kaedah komunikasi dengan pelanggan.

Pembukaan ibu pejabat ini hanya dalam tempoh setahun selepas jenama Polestar diperkenalkan di Shanghai, China tahun lalu.

Menurut Polestar lagi ini bukan projek pertama dengan ekspresi sebegini, Pusat Pengeluaran Polestar di Chengdu, China bakal siap dalam masa terdekat dan pasti ia juga bukan calang-calang.

Kepada dunia, inilah falsafah Sweden atau Volvo yang sudah lama dipendam. Sebelum ini kita biasa disajikan dengan reka bentuk Itali, Amerika Syarikat, Jepun dan Eropah.

Kini tibalah masanya untuk idea dan falsafah Sweden mengambil tempat sama seperti perabotnya yang begitu banyak mendominasi kehidupan seharian kita.

BACA: VOLVO XC40 CATAT 5 BINTANG EURO NCAP – MAKAN APA HEBAT SANGAT NI?

BACA: KERETA BELUM KELUAR – POLESTAR DAH SIAP UMUM BARANG MODIFIKASI

Google ads
Back to top button