Buletin

VOLVO XC40 T5 R-DESIGN, RM255,888 – INILAH SUV KOMPAK PREMIUM YANG ANDA MAHUKAN

Volvo Cars Malaysia (VCM) hari ini melancarkan SUV terbaharunya ke pasaran tempatan, Volvo XC40 T5 R-Design.

Menjadi SUV paling paling kecil keluaran Volvo, XC 40 mendapat sambutan hangat di semua pasaran yang disertainya di seluruh dunia. Pengeluar dari Sweden itu mendakwa XC40 merupakan SUV kompak paling selamat dan lengkap di pasaran.

Pengenalan XC40 menandakan usaha Volvo untuk meneroka pasaran SUV kompak global buat pertama kalinya. Dihasilkan di kilang Volvo di Shah Alam, XC40 dikuasakan oleh enjin Drive-E bersesaran 2.0 liter.

Mampu menjana kuasa mencecah 252hp dan tork 350Nm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan. Tahap penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.7 liter bagi setiap 100km dengan pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam masa hanya 6.4 saat.

“XC40 baharu dibina di atas warisan jenama kami yang berorientasikan manusia. Ia menggabungkan aspek teknologi inovatif yang terdiri daripada sistem keselamatan, bantuan pemandu dan reka bentuk intuitif,” kata Pangarah Urusan VCM, Lennart Stegland.

Malaysia ialah negara ketiga yang menerima XC40 selepas Singapura dan Thailand. Jika Thailand menawarkan varian T4 dan T5, VCM nampaknya hanya menyediakan varian T5 R-Line untuk pengguna Malaysia buat masa sekarang.

VCM tidak menolak kemungkinan akan menawarkan varian lain seperti dengan enjin tiga selinder dan plug-in hybrid. Namun, ia bakal diumumkan kemudian.

Sama dengan semua model baharu Volvo, XC40 dibina di atas platform CMA bersama 17 kombinasi warna badan dan bumbung. Namun untuk Malaysia, hanya empat warna ditawarkan iaitu merah, putih, biru dan kelabu dengan bumbung berwarna hitam.

Bahagian dalaman dimonopoli oleh tona hitam yang nampak mewah dan elegan. Mengetengahkan rekaan Scandinavian yang minimalis, anda boleh mengharapkan susun atur butang kawalan yang cukup kemas.

Pengecasan tanpa wayar Sensus pula tidak lagi memerlukan anda mengecas telefon pintar secara konvensional.

Bahagian hadapan jentera ini diserlahkan menerusi lampu utama dengan rekaan tukul Thor, lampu nyalaan siang LED dan gril baharu.

XC40 R-Line boleh anda miliki pada harga RM255,888 seunit (di atas jalan, tidak termasuk insurans). Ia sudah boleh dilihat secara dekat di semua bilik pameran Volvo di seluruh negara mulai esok.

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button