Artikel Pilihan

MENGINTIP TEKNOLOGI SISTEM ARAHAN SUARA PROTON X70

Dalam siri drama yang diterbitkan oleh Hollywod iaitu Knight Rider, ia mengetengahkan sebuah kereta Pontiac Trans Am dengan nama jolokan Kitt dengan keupayaan untuk memahami dan melaksanakan arahan manusia melalui arahan suara.

Saya pasti pada waktu itu cerita sebegini pasti akan dihargai oleh golongan “mat skema” atau Nerd seperti penulis berbanding dengan siri Kapten Zana.

Kitt mampu berkomunikasi dengan hero Michael Knight lakonan David Hasselhoff selepas kereta ini dipasang dengan superkomputer dengan keupayaan Artificial Intelligent (AI).

Sungguh melampaui zaman kereta imaginasi tersebut atau bagi orang dengan keupayaan berfikir secara norma, ia pasti sesuatu yang mengarut seperti teori bumi rata.

Selain dari Knight Rider, Hollywood turut menyajikan  fiksyen sains yang digemari ramai, Ironman. Ironman ialah watak egoistik dan pemain buaya (baca playboy) yang dilakonkan oleh Robert Downey Jr, turut mempunyai sebuah super komputer lengkap dengan sistem Artificial Intelligent yang bernama Jarvis.

Jarvis pada asalnya ialah butler yang bekerja dalam keluarga Tony Stark dan menjadi ilham kepada sistem computer JARVIS yang dipasang di dalam suit Ironman.

Memandangkan impian rakyat Malaysia yang pernah berangan untuk menaiki kereta terbang dan melepasi palang tol lebuhraya masih belum tercapai, sekurang – kurangnya kita masih boleh berbangga dengan Proton X70, yang boleh berkomunikasi dengan pemandu apabila kata kunci (keyword) disebut oleh pemandu.

Adakah sistem arahan ini berjaya?

Apabila saya memarkir Proton X70 ini di tempat awam ketika sesi pandu uji, seorang kanak-kanak sekolah rendah terpana melihat X70, menarik tangan emaknya dia yang memandang X70 tanpa berkelip seraya berkata “Mama, ini kereta boleh bercakap kan?”. Mamanya hanya mampu mengangguk, mungkin terpegun dengan X70 ataupun kekacakan penulis.

Proton X70 dilengkapkan dengan sistem arahan suara yang dipanggil Voice Command. Sistem ini adalah sistem yang biasa dipasang pada kereta mewah dari benua Eropah seperti Mercedes Benz, BMW dan juga Volvo.

Sistem ini membolehkan pemandu mengawal peranti seperti penyaman udara, unit audio, unit navigasi dan juga membuka cermin sisi atau cermin panaromik.

Paling menarik, sistem GKUI ini juga bersambung dengan capaian internet 4G yang disambung dengan talian Celcom.

Proton X70 menggunakan Geely New Smart Ecosystem atau singkatannya GKUI yang merupakan satu sistem yang berasaskan platform Android dan boleh menerima arahan suara pemandu.

Sistem voice command ini boleh diaktifkan melalui 3 cara iaitu, menekan butang Mode pada roda steering, menekan satu butang khas berwarna ungu di papan pemuka peranti audio 8 inci atau cara yang paling “cool” ialah dengan menyebut “Hi Proton”.

Sebaik sahaja diaktifkan, sistem ini akan membalas atau memberi respond bagi memberi isyarat yang ia sudah bersedia membantu pemandu. Suara ini menyerupai suara perempuan yang diberi nama Ava, dan suara lelaki diberi nama Tom.

Buat masa ini saya dapat pastikan tiada suara Aiman Tino digunakan oleh Proton X70.

Sistem arahan suara ini bertindak sebagai pembantu peribadi kepada pemandu sekiranya isteri anda tidur berdengkur dalam perjalanan untuk membuat beberapa tugasan mudah seperti:

  1. Membuat panggilan telefon (pastikan telefon pintar disambung terlebih dahulu dengan sistem GKUI)
  2. Memasang lagu kegemaran anda dengan menggunakan capaian internet. Sebut saja nama penyanyi dan sistem akan mencari senarai lagu berkenaan. Sebagai contoh, sebut saja Mariah Carey, sistem akan memainkan lagu bertajuk Honey. Anda boleh menguatkan speaker atau perlahan dengan hanya memberi arahan “Volume up” / “Volume down” atau untuk lagu seterusnya “Next Song”
  3. Bagi varian 2WD Premium, terdapat fungsi arahan untuk sistem membuka pelindung matahari, membuka cermin panaromic, membuka semua cermin sisi atau membuka cermin sebelah pemandu sahaja.
  4. Bagi membuat ramalan kajicuaca hari ini, hanya sebutkan “Hi Proton, should I bring umbrella today?” Sistem akan membalas “Yes you should bring umbrella today” bagi fungsi ramalan kaji cuaca. Sistem ini tidak dapat meramal samaada Manchester United akan menang dalam perlawanan liga UEFA.
  5. “I’am hungry” sebaik sahaja arahan ini diberikan, sistem akan memberikan senarai restoran yang terdekat dengan anda. Sekiranya anda memilih untuk ke restoran tersebut, sistem akan mengaktifkan sistem pelayaran navigasi Baidu. Paling menarik, sekiranya digunakan, selain menunjukkan arahan di skrin sesentuh, arahan navigasi turut dihantar ke skrin yang dipasang di meter agar pemanduan anda kurang terganggu.
  6. Bagi arahan menghidupkan penyaman udara, hanya sebutkan “On air conditioner”. Malah anda boleh menghidupkan sistem ionizer dengan menyebut “Open Air Purifier” melalui arahan suara. Sistem ini membenarkan anda mengawal kelajuan kipas penyaman udara

Berdasarkan pengalaman pemanduan Proton X70 ini, saya mendapati sistem ini amat mudah digunakan, mampu menangkap arahan suara sebaik sahaja kata kunci disebut, dan boleh beroperasi dalam keadaan bising seperti ketika radio atau lagu dimainkan.

Arahan dari pemandu sebenarnya dikesan oleh sensor yang dipasang pada bumbung X70.

Jadi. Adakah harapan wawasan 2020 boleh dicapai dengan Proton X70?

Google ads
"
"
Back to top button