Buletin

PORSCHE CARRERA GT DAPAT TAYAR BAHARU WALAUPUN BERUSIA 2 DEKAD

Jika sebelum ini kami bawakan berita tentang Ferrari menawarkan tayar baharu untuk Enzo, kali ini Porsche dengan tayar baharu yang dibangunkan buat Carrera GT.

Kedua-duanya menjangkau usia dua dekad dengan Carrera GT dikeluarkan sebanyak 1,270 buah di antara 2003 sehingga 2006.

Ferrari bekerjasama dengan Pirelli manakala Porsche bersama Michelin dan tayar baharu ini dikatakan mempunyai rasa yang lebih jitu dan boleh dijangka walaupun dipandu pada hadnya.

Tayar prestasi ultra tinggi (UHP) ini meningkatkan prestasi keseluruhan dan tahap keselamatan kereta.

Kompaun (campuran permukaan tayar) getah dan struktur tayar dioptimumkan untuk meningkatkan prestasi dalam keadaan basah dan kering.

Pemandu pembangunan dan duta jenama Porsche, Jörg Bergmeister telah menguji tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 tersebut.

Semasa diperkenalkan pada 2003, Porsche Carrera GT merupakan satu daripada kereta pengeluaran terpantas di dunia.

Enjin V10 naturally-aspirated asalnya dibangunkan untuk bersaing di dalam 24 Jam Le Mans dan versi untuk Carrera GT pula berbeza dengan sesaran 5.5 liter dinaikkan kepada 5.7 liter.

Kuasa 612 ps bersama-sama daya kilas 590Nm bertugas untuk berat kereta 1,380 kilogram.

Pecutan dari 0 sehingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.9 saat dan kelajuan maksimum mencecah 330 km/j.

Dari awal lagi, Carrera GT telah menggunakan tayar Michelin buatan khas iaitu Pilot Sport PS2.

Pada 2013 tayar Pilot Super Sport menggantikannya dan sekarang ini diserahkan kepada Pilot Sport Cup 2 dan tampil dengan tanda khas N khusus untuk Porsche.

Berikut ciri-ciri tayar Pilot Sport Cup 2 berdasarkan maklumat dari jurutera pembangunan Michelin untuk tayar kereta sport Porsche:

  • Dua jenis kompaun getah (bi-compound technology) pada bunga tayar
  • Asid silik digunakan pada bahu dalam dan blok bunga dalam untuk mendapatkan kompaun terbaik bagi cengkaman basah
  • Kompaun pada bahu luar dan blok bunga luar direka untuk cengkaman kering
  • Satu daripada bahan terpenting yang digunakan ialah karbon hitam (pigmen dan penguat getah)

Selain itu, permukaan di antara tayar dan jalan (contact patch) telah dioptimumkan dengan menjalani ujian menyeluruh terhadap dinamik pemanduan dan pengendalian termasuk di litar Nürburgring.

Objektifnya ialah untuk menghasilkan tayar yang optimum buat Carrera GT.

Berdasarkan maklum balas daripada Jörg Bergmeister, tayar baharu ini menjadikan Carrera GT lebih pantas dan lebih senang dipandu pada kelajuan tinggi.

Selain prestasi tersebut, tayar Pilot Sport Cup 2 juga mampu menghentikan kereta pada jarak lebih pendek.

Jarak pembrekan daripada 100 km/j kepada pegun kini 2.5 meter lebih pendek dan daripada 200 km/j Carrera GT berhenti 12 meter lebih awal.

Tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dibangunkan secara bersama di antara Michelin, Porsche Classic dan Pusat Pembangunan Porsche di Weissach, Jerman.

Para pemilik Carrera GT boleh memesannya dari rangkaian Porsche Classic atau mana-mana Pusat Porsche.

Google ads
Back to top button