
ERC 2023 – KEMENANGAN DRAMATIK BUAT HAYDEN PADDON DI RALLY SERRAS DE FAFE
Bekas pemandu WRC, Hayden Paddon yang berasal dari New Zealand berjaya memenangi perlumbaan pembukaan FIA European Rally Championship (ERC) di Rally Serras de Fafe, Portugal. Menariknya, Hayden Paddon adalah pemandu Hyundai pertama yang memenangi perlumbaan di ERC.
Hayden Paddon yang telah pun mengumumkan bakal menyertai musim penuh bagi kempen ERC musim ini berjaya meraih kemenangan yang dramatik di hadapan pemandu pasukan MRF Tyres Dealer Team, Mads Østberg yang memandu jentera Citroen C3 Rally2.
Kemenangan ini agak dramatik sebenarnya apabila pendahulu saingan dari awal, Mikko Heikkilä yang memandu jentera Skoda Fabia Rally2 evo terpaksa berhenti di akhir saingan untuk menukar tayar yang pancit, kira – kira 5 km menuju garisan penamat, sekali gus memberikan peluang dan ruang buat Hayden Paddon muncul juara. Walau pun melahirkan rasa simpati terhadap Heikkilä namun Hayden Paddon tetap berasa gembira dengan keputusan ini.

Dan kemenangan ini cukup bermakna buat Hayden Paddon yang juga pernah bergelar juara APRC dan Hyundai sendiri sementelah beliau pemandu pertama yang memandu jentera Hyundai garisan penamat untuk muncul juara perlumbaan ERC.
Sementara itu Mikko Heikkilä yang berasal dari Finland itu pula akur untuk berada di kedudukan kelapan keseluruhan setelah kehilangan masa berharga. Akibat daripada itu, rezeki juga memihak kepada Mads Østberg untuk berada di tempat kedua.

“Saya tidak pasti bagaimana ianya terjadi. Ianya mudah untuk mengalami tayar pancit disebabkan batu batu yang ada di luar sana tetapi saya masih gembira dengan tayar ini”, ujar Mikko Heikkilä yang mungkin sedikit kecewa.
Ketika mengalami tayar pancit, Mikko Heikkilä telah cuba untuk terus memandu dalam keadaan tayar yang telah kempis sepenuhnya tapi menurut beliau sebahagian tayar telah pun terkeluar daripada rim. Bimbang tindakan tersebut bakal merosakkan lagi jentera Skoda, beliau memutuskan untuk berhenti daripada terpaksa menanggung kerugian pembaikan yang boleh menelan kos sehingga €10,000 (RM48,116).
BACA : APA YANG MENARIK TENTANG FIA EUROPEAN RALLY CHAMPIONSHIP 2023
BACA : MRF TYRES – JENAMA YANG SEMAKIN HANDAL DALAM SAINGAN FIA EUROPEAN RALLY CHAMPIONSHIP 2023