Buletin

WRC2 – GILIRAN GUS GREENSMITH UNTUK MENANG DI MEXICO

Seperti yang pernah BK ulas sebelum ini tentang persiangan kelas kedua, WRC2 yang cukup sengit tahun ini, ternyata saingan kategori sokongan ini semakin sengit dan menarik. Untuk perlumbaan di Guanajuato Rally México tempohari, giliran Gus Greensmith pula untuk muncul pemenang.

Gus Greensmith yang tahun sudah memandu jentera Ford Puma Rally1 untuk pasukan M-Sport kini dalam usaha untuk mendapatkan semula kerusi jentera pasukan utama dan telah memiliih untuk beraksi dalam kelas WRC2 bersama pasukan Toksport dengan memandu jentera Skoda Fabia RS Rally2.

Ternyata pengalaman beliau sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk memandu jentera Skoda tersebut buat pertama kali secara rasminya dalam kelas WRC2. Dan hasilnya beliau tidak menghadapi masalah untuk mendahului saingan sedari awal lagi walau pun ketika itu beliau cuba dikejar rapat oleh seorang lagi bekas pemandu utama WRC, Adrien Fourmaux yang memandu Ford Fiesta Rally2.

Malang menimpa buat bekas rakan sepasukan beliau musim lalu apabila Adrien Fourmaux terpaksa berhenti untuk menukar tali pinggang keselamatan ketika di pertengahan perlumbana sekali gus mengakibatkan kehilangan masa berharga 17 minit. Sudahnya beliau hanya berupaya untuk menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan.

Untuk itu, peluang telah dipergunakan sepenuhnya oleh pemandu dari Finland Emil Lindholm untuk memintas dan berada di podium kedua keseluruhan. Agak menarik sebenarnya apabila melihatkan dominasi Skoda Fabia RS Rally2 kali ini. Walau pun bukan rakan sepasukan, namun ketiga jentera podium ini telah disediakan oleh Toksport Motorsport sendiri untuk pemandu handalan ini.

Ketiga keseluruhan menjadi milik Oliver Solberg yang juga bekas pemandu WRC musim lalu. Sebetulnya pemandu Sweden ini hampir berjaya mengekori rapat Emil Lindholm walau pun ketinggalan agak jauh juga sebelumnya. Suatu ketika Oliver Solberg hanya ketinggalan 15.1 saat sahaja untuk memintas Emil Lindholm ketika berbaki dua peringkat.

Namun malang menimpa Oliver Solberg terlanggar dengan batu dan menyebabkan enjin beliau hanya berfungsi dengan tiga silinder sahaja hingga ke garisan penamat. Yang pasti, kedudukan ini membolehkan Oliver Solberg tetap memungut mata berharga sekali gus menjadi pendahulu saingan WRC2 setakat ini.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Oliver Solberg – 46 mata
  2. Yohan Rossel – 28 mata
  3. Emil Lindholm – 28 mata

BACA : OLIVER SOLBERG CEMERLANG DI RALLY SWEDEN DALAM AKSI WRC2

BACA : WRC2 – INILAH BARISAN PEMANDU HANDALAN MUSIM 2023

Google ads

B K

Back to top button