Buletin

WRC2 2024 – SAMI PAJARI MUNCUL JUARA BUAT PERTAMA KALI BERSAMA TOYOTA GR YARIS RALLY2

Pemandu muda yang berasal dari Finland, Sami Pajari akhirnya berjaya muncul sebagai juara musim ini di Rally Italia Sardegna dalam kelas WRC2 bersama jentera Toyota GR Yaris Rally2. Sami Pajari yang baharu bertukar angin ke jentera Toyota berjaya mencatatkan masa pendahulu yang selesa ketika empat peringkat terakhir.

Keputusan itu membolehkan Sami Pajari berjaya kembali ke podium teratas WRC2 buat kali pertama selepas melakukannya di Secto Rally Finland tahun lepas sekali gus melonjakkan dirinya daripada tempat ke 11 keseluruhan kepada keempat dalam kedudukan pungutan mata kejuaraan kelas WRC2.

Sami Pajari memulakan saingan hari Ahad dengan kelebihan 54.7 saat ke atas Yohan Rossel yang memandu jentera Citroen C3 Rally2 dan kemudiannya mengambil pendekatan tanpa risiko menuju ke peringkat akhir. Pun begitu catatan masanya berjaya dikurangkan kepada 32.3 saat oleh pemandu Perancis tersebut yang cukup bersemangat sementelah jentera Citroen C3 Rally2 beliau telah mendapat sedikit kerja tingkat taraf sebelum perlumbaan di Itali ini.

“Saya mengharapkan keputusan yang baik selepas kekecewaan di Portugal,” kata Sami Pajari yang berusia 22 tahun itu yang gembira ketika menamatkan saingan Wolf Power Stage. “Saya tahu rentak itu ada dan kami hanya perlu menyusunnya,” tambahnya lagi.

Sebetulnya, prestasi Yohan Rossel di Itali ini paling banyak mendapat tumpuan. Yohan Rossel sempat berada di tempat ke 15 keseluruhan namun kemudiannya bangkit untuk mencatatkan lapan kemenangan peringkat berturut – turut untuk memintas beberapa pemandu seperti Jan Solans untuk berada di tempat kedua keseluruhan pada pertengahan perlumbaan pada hari terakhir.

Ternyata Jan Solans yang turut memandu jentera Toyota GR Yaris Rally2 untuk kembali memecut dengan memenangi tiga peringkat daripada empat pada hari Ahad namun Yohan Rossel berjaya mencatatkan kelebihan 7 saat di hadapan pemandu dari Sepanyol itu sekali gus berjaya melebarkan pungutan mata pendahulu kejuaraan ke atas Jan Solans kepada 23 mata.

Kedudukan Pungutan Mata WRC2

  1. Yohan Rossel – 71 mata
  2. Jan Solans – 48 mata
  3. Oliver Solberg – 43 mata

BACA : WRC2 2024 – JAN SOLANS & TOYOTA YARIS GR RALLY2 MENANG DI PORTUGAL

BACA : WRC2 2024 – YOHAN ROSSEL BANGKIT UNTUK MENANG DI MONTE CARLO

Google ads

B K

Back to top button