Buletin

SKUTER ELEKTRIK BLUESHARK R1 KINI DIJUAL DI MALAYSIA – BERMULA RM7K

Blueshark, anak syarikat Sharkgulf Technologies Group hari ini melancarkan skuter elektrik R Series Blueshark R1 untuk pasaran Malaysia yang merupakan pasaran pertama di Asia Tenggara.

Reka bentuk skuter elektrik ini sangat menarik dan tidak keterlaluan terutamanya dalam estetika gaya yang sesuai digunakan di Malaysia.

Dari bahagian hadapan, Blueshark R1 dipadankan dengan lampu LED nipis bersama kemasan hitam berkilat pada bawah lampu, kepala serta cermin sisi.

Blueshark R1 dilengkapi paparan IPX5 kalis air bersaiz 10-inci HD IPS. Ia menggunakan sistem operasi ArkRide dengan sambungan Bluetooth, navigasi GPS, pemain media, pengemaskinian OTA dan banyak lagi.

Ciri lain terdapat pada skuter kategori ringan ini ialah kamera di bahagian depan dan belakang yang berfungsi sebagai dashcam. Ia turut disertakan bantuan mengundur.

Blueshark R1 didatangkan dengan motor 5kW yang menghasilkan tork sehingga 201Nm. Untuk jarak gerak, ia mampu pergi sejauh 160km bagi setiap pengecasan penuh pada kelajuan maksimum 80km/j.

Blueshark R1 mempunyai reka bentuk dwi-bateri lithium besi fostat (LFP) dengan setiap pek bateri 12kg, berkapasiti 1.44kWh

Demi memudahkan pengguna, pek bateri boleh ditukar dengan pantas di mana-mana stesen penukar bateri Blueshark (BlueStation) atau dicas penuh dalam tempoh 3.5 jam. Pemilik juga boleh mengecas terus melalui pengecas 3-pin.

Blueshark R1 dilengkapi cakera tunggal di bahagian hadapan dan belakang yang digabungkan dengan teknologi Combine Brake System.

Jentera itu boleh dimiliki pada harga bermula RM7,190 untuk versi Lite (tanpa skrin IPS LCD dan kamera bahagian hadapan serta belakang), manakala varian teratas berharga RM9,390.  

Harga tersebut tidak termasuk bateri, namun Blueshark menawarkan pakej menarik bermula RM59 (36 pertukaran sebulan), RM99 (70 pertukaran sebulan), RM139 (120 pertukaran sebulan) dan RM1.95 (pertukaran tanpa langganan).

GALERI:

Google ads
Back to top button